Apa terjadi pada otak sewaktu kita mengelamun? Ini manfaat yang jarang diketahui orang


  • Sihat
  • Khamis, 06 Nov 2025

Ketika otak kita melamun, ia mungkin sedang berusaha untuk memperbaharui diri walaupun hanya seketika.— Gambar Hiasan

MELAMUN atau zoning out sering kali dianggap sebagai tanda kurangnya fokus atau perhatian. 

Namun, hasil kajian terbaru mendedahkan bahawa fenomena ini mungkin lebih kompleks daripada yang kita sangkakan.

Kajian yang dijalankan oleh para saintis dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) menemui penemuan menarik mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada otak apabila kita mengelamun.

BACA LAGI: Cuaca sangat panas, cuma saya masih mahu beraksi bersama Malaysia — Laikha Macwilson

BACA LAGI: 'Saya dilahirkan di England tetapi berdarah warisan Malaysia', adik Zahirah Macwilson muncul jurulatih bola sepak terbaik di Australia

Kajian yang menggunakan dua teknik pengukuran canggih, iaitu electroencephalogram (EEG) dan functional magnetic resonance imaging (fMRI) mendapati bahawa semasa melamun, terdapat gelombang cerebrospinal fluid (CSF) yang mengalir keluar dari otak, kemudian kembali semula dalam masa 1 hingga 2 detik. 

Gelombang ini menyerupai aliran cairan yang biasa berlaku semasa tidur nyenyak, di mana otak membersihkan sisa-sisa bahan buangan yang terkumpul sepanjang hari.

Menurut pakar neurosains dari MIT, Dr. Laura Lewis, perkara ini menunjukkan bahawa ketika terjaga dan kekurangan tidur, otak kita berusaha untuk menyamai keadaan tidur dengan cara ini.

"Gelombang CSF ini muncul ketika seseorang terjaga, padahal biasanya ia hanya berlaku ketika kita tidur. Proses ini memberi kesan kepada fokus kita, menyebabkan perhatian kita berkurang seketika," jelas beliau.

Man sleeping on bed in the morning

Tidur bukan hanya untuk rehat fizikal, tetapi juga untuk memulihkan otak.  — Gambar Hiasan

Penyelidikan ini melibatkan dua sesi ujian, pertama selepas tidur yang cukup dan kedua selepas tidak tidur sama sekali. 

Hasilnya, mereka yang kurang tidur menunjukkan penurunan ketara dalam prestasi kognitif mereka. 

Melamun ini menjadi lebih ketara apabila seseorang itu tidak mendapat tidur yang cukup, mengindikasikan bahawa otak sedang berusaha mengejar kekurangan tidur melalui satu bentuk 'microsleep' yang singkat.

Ketua penyelidik kajian ini, Zinong Yang menyatakan bahawa sistem cairan cerebrospinal berfungsi untuk memulihkan otak dengan cara mendorong otak beralih antara dua keadaan iaitu fokus yang tinggi dan aliran cairan yang juga tinggi. 

"Otak yang kekurangan tidur akan cuba memulihkan dirinya dengan cara meniru proses tidur, walaupun hanya dalam waktu yang sangat singkat. Ini merupakan usaha otak untuk memulihkan semula beberapa fungsi kognitif yang terganggu," katanya.

Tindakan melamun ini bukanlah hanya satu gangguan kecil, tetapi mungkin merupakan petanda bahawa otak kita sedang berada dalam keadaan 'sistem pemulihan'. 

Apabila tidur tidak mencukupi, otak akan cuba memperbaharui dirinya walaupun dalam keadaan terjaga. Walau bagaimanapun, ini boleh menyebabkan penurunan fokus sementara waktu.

Kajian ini memperlihatkan betapa pentingnya tidur dalam memelihara kesihatan otak dan fungsi kognitif kita. 

Kekurangan tidur bukan sahaja mengganggu tumpuan dan kemampuan berfikir, tetapi juga menambah risiko pelbagai penyakit serius. 

Maka, tidur yang cukup bukanlah hanya sekadar keperluan fizikal, tetapi juga satu keperluan untuk memastikan otak kita berfungsi dengan baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram