BIMBANG anaknya semakin ketagih gajet, Khairul Johari memilih jalan berbeza daripada kebiasaan iaitu membela seekor musang pandan sebagai teman bermain si kecil.
Dalam satu hantaran di Facebook, Khairul memuat naik gambar anaknya bermain mesra bersama musang berkenaan sambil berkongsi kisah bagaimana haiwan itu membantu mengubah rutin anaknya.
“Kamu kalau ada anak kecil yang ketagih gajet, bangun tidur cari tablet, makan sambil tonton YouTube, malam tidur pun nak dengar lagu Baby Shark.
“Aku ada cadangan. Bela haiwan. Tapi bukan sekadar haiwan biasa,” katanya.
BACA LAGI: 'Kekayaan hakiki bukan harta, tapi saham akhirat', Norish Karman didik 8 anak cintakan ilmu agama
BACA LAGI: Ada yang kena penyakit kulit, hampir berpisah, Mufti Terengganu jelaskan punca dugaan 'darah manis'
Khairul berkata, idea itu tercetus selepas lama memerhati gelagat anaknya yang memiliki minat mendalam terhadap binatang.
Katanya, setiap kali berjumpa haiwan seperti kucing, ayam dan biawak, si kecil itu sama sekali tidak takut untuk mendekati, malah cuba untuk memeluk.
Namun daripada semua haiwan, musang pandan paling serasi dengan jiwa anaknya.
“Musang ni sebenarnya comel. Orang tengok dalam hutan nampak macam seram, padahal perangainya lebih kurang kucing.
"Cuma beza, ia ada eyeliner semula jadi iaitu sentiasa on point macam baru habis shoot iklan maskara,” tulisnya.
Tambahnya lagi, musang pandan bukan haiwan mahal dan boleh dibeli sekitar RM300.
Namun, beliau tidak menggalakkan orang ramai menangkap musang liar yang sudah dewasa kerana boleh bertindak agresif terhadap manusia.
“Kalau nak bela, ambil yang baru buka mata. Bila dia rasa kita macam ibu dia, dia akan lekat. Sampai kita masuk tandas pun dia ikut,” katanya.
Menurut Khairul, selain tidak sukar dijaga, musang pandan juga tidak berbau busuk dan mudah menyesuaikan diri.
“Ia main pagi, melasak petang, malam tidur macam baby. Makan buah lembut, ayam rebus pun boleh. Najis pun tak busuk. Bonus besar untuk mak-mak yang sensitif aroma,” ujarnya.
Bagi Khairul, matlamatnya mudah iaitu bukan sekadar mahu anaknya seronok bermain, tetapi supaya si kecil belajar menghargai makhluk hidup dan dunia sebenar di sekelilingnya.
“Kalau nak anak kurang screen time dan lebih banyak real life time, bagi dia kawan yang hidup, bukan kawan yang ada bateri,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya tertarik dengan pendekatan unik itu.
“Saya pernah bela anak musang tapi mati sebab sawan,” kata Siti Aishah.
“Aduhhh comelnya, mana nak beli anak musang ni?," kata Lia Riana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
