Busana merah jambu, selendang keringkam rekaan Shanell Harun serlah penampilan Tun Laila pada majlis pertunangan


  • Gaya
  • Selasa, 04 Nov 2025

Pasangan ini dianggap sekufu kerana kedua-duanya berkongsi profesion sama dalam bidang perundangan. — Instagram/@shanellharun, @yarafaee

 

 

PEMPENGARUH dan peguam muda, Tun Laila Tun Rafaee selamat melangsungkan majlis pertunangan bersama jejaka pilihan hatinya dalam suasana penuh bermakna dan elegan.

Momen bahagia itu dikongsikan menerusi hantaran di Instagram Tun Laila sendiri pada Isnin.

Hantaran tersebut memaparkan beberapa keping foto sewaktu majlis tunangnya berlangsung.

BACA LAGI: 'Kekayaan hakiki bukan harta, tapi saham akhirat', Norish Karman didik 8 anak cintakan ilmu agama

BACA LAGI: Ahli keluarga pengantin berang hari majlis hanya kerana pelekat karpet, pihak katering teruk dipersalahkan

Wanita berusia 27 tahun itu tampil manis dalam persalinan merah jambu lembut yang digandingkan bersama selendang yang menambah pesona lembut dan anggun di hari istimewanya.

Sementara itu, tunangnya, Amir Haiqal pula segak mengenakan baju Melayu rona sedondon lengkap dengan samping dan songkok.

Dalam pada itu, pereka fesyen terkenal, Shanell Harun turut berkongsi detik tersebut di laman Instagramnya.

Shanell yang bertindak sebagai pereka busana khas Tun Laila itu menyifatkan helaian tersebut sebagai lambang keanggunan dan asal-usulnya.

"Berbalut dalam keanggunan. Tun Laila mengenakan busana khas rekaan Shanell Harun digandingkan dengan keringkam warisan melambangkan asal-usulnya.

"Setiap perincian menuturkan kisah dirinya," tulis Shanell dalam kapsyen hantarannya.

Ruang komen kedua-dua hantaran tersebut turut dibanjiri ucapan tahniah daripada pengikut yang teruja melihat detik berkenaan.

Menariknya, tunang kepada Tun Laila juga bukan calang-calang individu.

Hasil carian Majoriti di media sosial mendapati, Amir juga bergelar peguam.

Menurut perkongsian rasmi Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) London, Amir Haiqal merupakan pelajar tajaan MARA di bawah Graduate Excellence Programme (GrEP) yang menamatkan pengajian Master of Laws with Distinction in Law di Queen Mary University of London pada Januari 2024.

Sebelum itu, beliau merupakan graduan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pernah menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma guaman di Malaysia serta menerima pentauliahan sebagai peguam oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2022.

Beliau kini meneruskan khidmat dalam bidang guaman, sekali gus menjadikan pasangan itu gandingan profesional muda yang benar-benar serasi serta menjadi perhatian ramai.

Inspirasi dan cabaran di sebalik rekaan busana Tun Laila

Bagi mendapatkan perincian lebih lanjut, Majoriti sempat menemu bual Shanell dalam talian.

Beliau mendedahkan, inspirasi rekaan datang daripada keperibadian Tun Laila sendiri.

"Saya memilih tona blush pink kerana ia melambangkan kelembutan, kasih sayang dan permulaan baharu, sangat sesuai dengan suasana pertunangan

"Dari segi siluet, saya kekalkan potongan klasik kurung moden dengan perincian yang halus dan feminin supaya menonjolkan keanggunan tanpa berlebihan," katanya.

Proses menyiapkan busana itu katanya mengambil masa selama lebih sebulan termasuk sesi fitting dan penyempurnaan akhir.

Beliau turut menyifatkan Tun Laila sebagai individu yang sangat mudah untuk bekerjasama.

"Kerjasama sangat menyenangkan kerana Tun Laila tahu apa yang diinginkan tetapi tetap terbuka dengan idea reka bentuk," ujarnya.

Berkenaan selendang keringkam, Shanell berkata, pemilihannya adalah hasil perbincangan bersama setelah mengetahui Tun Laila berasal dari Sarawak.

"Tun Laila ada nyatakan keluarganya berasal dari Sarawak. Saya pula ingin menambah sentuhan warisan yang halus dan bermakna, jadi kami sepakat memilih keringkam sebagai pelengkap utama busana ini sebagai simbol keanggunan wanita Melayu Sarawak," jelasnya.

Shanell turut berkongsi pengalaman menyiapkan busana pertunangan Tun Laila yang katanya memerlukan ketelitian tinggi untuk memastikan setiap perincian sempurna.

"Cabaran utama adalah menyeimbangkan manik dan potongan supaya hasil akhir tampak mewah tetapi ringan. Setiap labuci dan sulaman dilakukan secara manual.

Perincian istimewa pada bahagian hadapan dan lengan menggunakan hand embroidery dan bead layering untuk memberikan efek berkilau," jelasnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram