TREND fesyen sememangnya silih berganti, namun pakar kesihatan mengingatkan agar aspek keselesaan dan kesihatan kaki tidak diabaikan hanya kerana mahu bergaya.
Menurut pakar perubatan daripada Perancis yang banyak berkongsi mengenai kesihatan kaki, Dr. Jimmy Mohamed, pemilihan kasut yang tidak sesuai boleh memberi kesan jangka panjang terhadap sendi dan struktur kaki.
"Trend tidak sepatutnya mengatasi kesihatan kaki," tegasnya.
BACA LAGI: Anak Terengganu cipta sejarah, pelajar OKU rangkul 2 pingat emas GITC 2025 di Korea Selatan

Reka bentuk kasut mules menyebabkan jari kaki mencengkam setiap langkah, seterusnya menambah ketegangan kaki. — Gambar hiasan/Media sosial
Beliau menjelaskan, kasut bertumit tinggi meningkatkan tekanan pada bahagian depan kaki serta mengurangkan keseimbangan tubuh.
Sebaliknya, kasut yang terlalu rata pula tidak memberikan sokongan dan kusyen mencukupi menyebabkan otot betis dan bahagian belakang tumit menegang.
Kasut tanpa tali seperti mules atau selipar Jepun juga memaksa jari kaki menegang untuk menahan tapak kasut daripada terlepas.
"Jika kasut tidak sesuai dengan bentuk kaki, badan akan cuba menyesuaikan pergerakan secara tidak semula jadi.
"Lama-kelamaan, ia boleh menyebabkan sakit, bukan sahaja pada kaki, tetapi juga pada lutut dan belakang," katanya.
Kaki manusia mengandungi 26 tulang, 33 sendi dan lebih 100 ligamen.
Tanpa sokongan lengkung kaki yang baik, keseimbangan postur badan akan terganggu.
Kasut bertumit sederhana antara satu hingga tiga sentimeter (cm), biasanya paling selesa dan stabil kerana mampu menyeimbangkan berat badan dengan lebih baik.
Kasut terlalu tinggi atau terlalu rata, kedua-duanya berisiko
Kasut tumit tinggi mengubah pusat graviti badan ke hadapan menyebabkan otot betis menegang dan pergerakan pergelangan kaki menjadi terhad.
Bahagian depan kaki juga akan terhimpit, sekali gus meningkatkan risiko kulit menebal (kapalan) dan bunions, iaitu tulang yang timbul pada sendi ibu jari kaki.
Sementara itu, kasut yang terlalu rata pula gagal menyerap hentakan pada tumit.
Tapak yang terlalu lembut menyebabkan kaki seakan 'terapung', lalu jari perlu mencengkam ketika berjalan.
Keadaan ini boleh menyebabkan radang pada tisu tapak kaki (plantar fascia), terutama apabila digunakan di permukaan keras dalam tempoh lama.

Uji kestabilan kasut sebelum membuat pembelian adalah disarankan untuk mengelakkan masalah kaki. — Gambar hiasan/Freepik
Pakar turut menyarankan beberapa langkah mudah untuk mengelakkan masalah kaki:
- Tukar ketinggian tumit kasut secara bergilir sepanjang minggu.
- Pilih tapak dalam yang lembut dan fleksibel.
- Uji kestabilan kasut dengan berdiri sebelah kaki selama 10 saat.
- Simpan sepasang kasut selesa untuk dipakai ketika perjalanan jauh.
- Ganti tapak dalam setiap 6 hingga 12 bulan.
Kasut bertapak keras pula mengurangkan kepekaan terhadap tanah dan meningkatkan risiko terseliuh.
Reka bentuk muncung kasut yang terlalu sempit juga boleh menekan saraf kaki, manakala muncung yang sedikit lebar membantu mengurangkan rasa kebas.
Kekal bergaya tanpa jejas kesihatan
Untuk memilih kasut terbaik, pastikan tumit kukuh, tapak boleh dibengkokkan pada bahagian jari dan ada tali atau pengikat untuk menstabilkan kaki.
Tapak dalam yang boleh ditanggalkan memberi ruang pelarasan tambahan.
Dr Jimmy menasihatkan memilih kasut dengan perbezaan ketinggian tumit dan depan sekitar satu hingga tiga cm serta kusyen sederhana untuk melindungi kaki tanpa menjejaskan keseimbangan.
Cuba kasut pada waktu petang apabila kaki sedikit membengkak dan berjalan beberapa minit di kedai bagi menguji keselesaan dan kestabilan.
Jaga kaki seperti atlet
Rutin regangan harian pada otot betis dan jari kaki membantu kasut berfungsi lebih baik.
Bawa kasut selesa ketika perjalanan, tukar di pejabat dan elak memandu dengan kasut tumit tinggi bagi mengurangkan tekanan pada kaki.
Bila perlu berjumpa doktor?
Sakit kaki berlarutan lebih 48 jam, kebas, kuku kehitaman atau ketidakselesaan pagi hari adalah tanda amaran.
Berehat, sejukkan bahagian sakit dan gunakan tapak dalam yang sesuai.
Pemeriksaan doktor atau pakar podiatri boleh mengelakkan masalah berulang.
Remaja membesar, wanita hamil dan warga emas perlu lebih berhati-hati kerana perubahan hormon dan berat badan menjejaskan keseimbangan.
Pelaburan pada kasut berkualiti menjimatkan jangka panjang serta memastikan keselesaan dan pergerakan yang yakin setiap hari. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
