PEMBEDAHAN bariatrik bukan keputusan yang boleh dibuat hanya kerana desakan atau pengaruh orang lain, sebaliknya perlu dilakukan atas kerelaan diri sendiri selepas memahami sepenuhnya manfaat dan risiko.
Perkara itu ditegaskan oleh doktor dan pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi Santherasegapan yang menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembedahan tersebut semata-mata kerana disuruh pasangan, ibu bapa atau doktor.
"Jangan buat bariatrik sebab suami suruh, isteri suruh, mak ayah suruh atau doktor suruh. Buat hanya jika anda sendiri rela hati dan faham tujuan sebenar pembedahan itu," katanya menerusi satu perkongsian di Facebooknya.
BACA LAGI: Bayi lahir czer risiko alahan, asma, imun badan rendah banding kelahiran normal — Pakar
BACA LAGI: Lima gaya selebriti di karpet merah FFM34 pilihan Majoriti, siapa paling memikat?
Menurutnya, pembedahan bariatrik bukanlah prosedur 'memotong' usus, sebaliknya melibatkan pengecilan saiz perut yang sudah membesar bagi membantu pesakit mengawal selera makan dan menurunkan berat badan.
“Apabila perut besar, makan banyak pun tak kenyang. Sukar nak diet dan berat badan pun susah turun. Jadi, pembedahan ini membantu mengecilkan perut supaya seseorang itu makan dalam kuantiti lebih kecil dan akhirnya menurunkan BMI serta risiko penyakit berkaitan obesiti," jelasnya.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa bariatrik bukan tanpa risiko.
Antara komplikasi jangka pendek termasuklah jangkitan, luka terbuka sama ada di kulit atau di bahagian dalam, darah beku dan masalah pernafasan yang boleh menyebabkan pesakit perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Walaupun kes sebegitu jarang berlaku, ia tetap risiko yang perlu difahami. Sebab itu penting berbincang dengan doktor secara menyeluruh sebelum membuat keputusan," katanya.
Bukan itu sahaja, beliau juga menegaskan komplikasi jangka panjang boleh berlaku, antaranya kekurangan penyerapan vitamin B, D, zat besi dan kalsium selain rasa loya dan muntah berpanjangan.
Malah, ada juga kes di mana berat badan pesakit naik semula selepas beberapa ketika kerana tidak mengekalkan disiplin pemakanan dan gaya hidup sihat.
"Kalau bukan diri sendiri yang rela dan betul-betul berhasrat unuk berubah, hasilnya tidak akan kekal. Pembedahan ini bukan untuk cantik, tapi untuk bantu pesakit menuju ke gaya hidup lebih sihat," katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan individu yang mempertimbangkan pembedahan bariatrik supaya tidak menjadikan pandangan jiran, pasangan atau kenalan sebagai penentu keputusan.
"Tubuh kita, tanggungjawab kita. Dapatkan nasihat terus daripada doktor, fahami setiap manfaat dan risiko, tanam niat untuk berubah, kemudian baru buat keputusan dengan rela hati," pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
