
PENGACARA popular Maria Tunku Sabri, mencuri perhatian ramai dengan perubahan fizikalnya semakin langsing.
Ini susulan selepas Maria, 55, memuat naik foto percutian ke Jepun bersama dua sahabat karib juga selebriti tanah air iaitu Sheila Rusly dan Sharifah Shahora menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini,
Penampilannya dalam perkongsian itu menjadi tumpuan followers yang rata-ratanya teruja dengan perubahan dialami oleh bekas pengacara rancangan Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) tersebut.
Tidak kurang juga menyifatkan beliau kelihatan lebih muda dan bertenaga persis kembali ke zaman remaja.
Perubahan bentuk fizikal itu dikatakan selepas beliau menjalani pembedahan bariatrik (prosedur menurunkan berat badan) sekitar Julai lalu.
Terdahulu, beliau yang juga personaliti TV3 pernah berkongsi mengenai perjalanannya menjalani pembedahan bariatrik.
Kata beliau, pembedahan itu bukan semata-mata untuk penampilan, tetapi bertujuan menangani beberapa masalah kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup.
Maria turut mendedahkan bahawa keputusan menjalani pembedahan bariatrik dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor kesihatan penting dan nasihat daripada pakar perubatan.
"Saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bariatrik kerana dua sebab utama.
"Pertama, doktor lutut menasihatkan saya supaya menurunkan berat badan kerana masalah lutut sudah tahap tiga.
"Kedua, doktor di tempat kerja memberi saya tempoh tiga bulan untuk menurunkan berat badan atau mereka akan memulakan rawatan ubat kencing manis dan kolesterol," kongsi ibu kepada dua orang anak itu.
Beliau menambah, pengalaman menjalani pembedahan itu memberikan banyak pengajaran dan motivasi sambil menzahirkan penghargaan buat petugas yang terlibat sepanjang proses pembedahannya.
"Syukur Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan baik dan layanan yang diterima sangat istimewa," luahnya.
Lebih menarik, Maria mendedahkan berat badannya turun sebanyak 7 kilogram (kg) setakat ini dan berharap penurunan berterusan dan berhenti mengambil ubat-ubatan jika kesihatannya mengizinkan.
"Berat saya sebelum ini 76kg kini 69kg dan berat saya akan turun lagi secara perlahan-lahan. Insya-ALLAH saya doa supaya selepas ini doktor akan berhentikan semua ubat-ubat saya jika saya okey," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram