LUAHAN pilu seorang ibu di Facebook mencuri perhatian ramai selepas mendedahkan keperitannya membesarkan anak perempuan berusia 14 tahun yang berhenti sekolah, ketagih pod dan semakin sukar dikawal.
Menerusi hantaran dibuat tanpa mendedahkan namanya, wanita itu mengakui sudah hilang sabar selepas segala usaha mendidik anaknya menemui jalan buntu.
Katanya, anaknya itu sama sekali tidak berminat untuk meneruskan pembelajaran sehingga guru di sekolah terpaksa datang ke rumah memintanya menandatangani surat berhenti sekolah.
“Lepas berhenti, dia kerja di kedai makan tapi datang dua hari sahaja. Lepas tu ponteng, buat macam kedai tu bapak dia punya,” tulisnya dalam hantaran yang kini tular.
BACA LAGI: Ada yang kena penyakit kulit, hampir berpisah, Mufti Terengganu jelaskan punca dugaan 'darah manis'
BACA LAGI: Siang sempat keluar makan bersama, malam suami dijemput Ilahi, tak sempat tatap wajah anak sulung
Lebih merisaukan, katanya, anaknya itu kini ketagih pod dan menjadikan tidur siang sebagai kebiasaan.
“Pagi tidur, malam terbangun. Orang tidur dia celik, dunia dia terbalik,” luahnya.
Ibu berkenaan turut mendakwa anaknya sering melawan, membentak dan menghempas barang setiap kali ditegur.
“Asal tegur je, cakap stres. Tapi apa yang stres pun saya tak tahu,” katanya.
Wanita berkenaan turut memberi gambaran kontras berkait remaja berwajah manis tetapi bilik bersepah.
“Biasa dengar pasal penyewa cantik yang bilik bersepah, begitulah anak saya, pinggan kotor tersorok bawah katil dan pakaian bertaburan,” tulisnya.
Kekecewaan itu akhirnya membuat wanita tersebut sampai ke tahap hampir berputus asa.
Di ruangan komen, ramai warga maya menitipkan kata semangat dan nasihat buat ibu yang meluahkan rasa kecewa terhadap anaknya itu.
Salah seorang pengguna Facebook, Siti Noraiqha berkata, beliau memahami keperitan yang dialami wanita berkenaan kerana pernah melalui situasi hampir sama.
Katanya, cara terbaik ialah mendekati anak dengan penuh sabar dan perlahan-lahan menjadi kawan kepadanya.
“Saya solat hajat tiap-tiap malam, minta ALLAH SWT lembutkan hati anak. Ajak dia luangkan masa bersama walaupun mula-mula dia tolak.
"Ikut rentak dia perlahan-lahan, insya-ALLAH lama-lama dia akan terbuka hati,” katanya.
Tambahnya lagi, anak remaja sebenarnya bukan mahu melawan, tetapi mencari perhatian dan kasih sayang yang mungkin mereka rasa sudah hilang.
“Anak saya dulu pun sama, suka melawan. Tapi bila saya mula faham dia, banyak benda berubah. Sekarang setiap kali saya memasak, saya akan baca doa supaya hati anak lembut. Anak remaja ni nampak keras, tapi sebenarnya dia rindu perhatian kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ummu Nadhirah pula berpesan agar ibu berkenaan kembali mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan tidak putus asa mencari kekuatan melalui doa.
“Satu saja caranya kembali kepada ALLAH. Mengadu, solat, berdoa, istighfar, merintih dan menangis. Pasti A LLAH akan buka jalan sedikit demi sedikit. Jangan pernah putus asa,” tulisnya.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu memperkukuh ilmu agama sebagai panduan mendidik anak.
“Belajarlah ilmu Fardu Ain kerana ilmu itulah yang menyuluh hidup kita. Bawa anak menuntut ilmu itu bersama. Dari situ datangnya perubahan dan petunjuk sebenar,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
