SYARIKAT penerbangan kos tambang murah berpusat di Shanghai, China memilih wanita berkahwin atau ibu sebagai pramugari kerana mereka mempunyai pengalaman hidup dan lebih empati terhadap penumpang.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan Spring Airlines mencetuskan 'kontroversi' dalam talian selepas mengumumkan rancangan untuk mengupah wanita berkahwin dan ibu sebagai pramugari dengan gelaran 'makcik udara'.
Pada 22 Oktober lalu, penerbangan kos tambang murah pertama China tersebut membuka peluang pekerjaan jawatan itu menyasarkan wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun dengan keutamaan kepada yang berkahwin atau mempunyai anak.
BACA LAGI: Waspada taktik penipuan 'Farid', menyamar jadi kaunselor konon nak bantu ibu ada masalah susu badan

Di China, syarikat penerbangan biasanya mengambil pramugari berumur antara 18 hingga 25 tahun. — Gambar hiasan/Agensi
Calon mesti mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, ketinggian antara 162 hingga 174 cm dan pengalaman dalam perkhidmatan pelanggan adalah digalakkan.
Jawatan berpusat di Shanghai dan bandar Lanzhou di barat laut China itu juga merancang untuk mengupah 30 hingga 60 orang.
Kebiasaannya, syarikat penerbangan di China mengambil pramugari berumur antara 18 hingga 25 tahun.
Seorang pengurus pengambilan pekerja berkata, 'makcik udara' membawa pengalaman hidup yang berharga dan empati, yang membantu mereka mengurus penumpang kanak-kanak dan warga emas dengan lebih baik.
Spring Airlines berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha mereka untuk menambah tenaga kerja sambil memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada wanita berikutan di China umur persaraan wanita biasanya 50 tahun.
Pengumuman berkenaan menjadi tular di media sosial sehingga meraih lebih 70 juta tontonan.
Namun, ramai tidak bersetuju dan mengkritik gelaran 'makcik udara' kerana dianggap kurang menghormati wanita dan memberi imej tradisional suri rumah yang menjaga keluarga.
Spring Airlines bagaimanapun menegaskan, mereka tidak berniat menyinggung sesiapa.
"Kami mahu membezakan mereka dengan calon yang belum berkahwin. Tugas, gaji dan laluan kerjaya mereka sama seperti pramugari lain," jelas wakil syarikat itu.
Mereka turut menyatakan, gelaran 'makcik udara' wujud sejak 1990-an ketika industri penerbangan China mula mengupah pekerja wanita kilang tekstil yang diberhentikan sebagai pramugari dan gelaran itu terus digunakan hingga kini.
Ini bukan kali pertama Spring Airlines membuka peluang kepada wanita berkahwin dan ibu.
Menurut agensi, syarikat itu kini mempunyai 88 petugas bagi jawatan itu dengan 74 peratus dinaikkan ke jawatan pengurusan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
