KEGEMBIRAAN pasangan suami isteri, Farah Fakhira dan Zaidul Ariff yang baru pulang mengerjakan umrah baru-baru ini bertukar duka apabila Zaidul meninggal dunia secara mengejut selepas rebah ketika bermain badminton malam Khamis.
Lebih memilukan, Farah kini sedang hamil anak pertama yang sememangnya sudah lama dinantikan mereka.
Dalam hantaran menyentuh hati di Instagram, Farah menceritakan detik terakhir bersama arwah suaminya hanya beberapa jam sebelum tragedi berlaku.
“Pada pukul 1.06 petang tadi saya scan bayi. Ya ALLAH, bayi dah besar, semua bentuk badan dia dah jelas dan doktor sempat tunjuk muka dia.
“Kami berjalan sama-sama dari pukul 3 petang, makan bersama, tunggu Maghrib dekat luar sebelum balik rumah. Lepas tu dia pergi main badminton pukul 10 malam, sempat hantar gambar sudah sampai gelanggang badminton. Tetapi pukul 12 saya dapat panggilan kata dia pengsan dan dikejarkan ke hospital," katanya.
Namun, panggilan itu bertukar menjadi berita yang tidak mampu dihadam oleh hati seorang isteri.
“Rasa macam mimpi sangat awak terus tak ada. Tinggalkan saya dengan anak. Ya ALLAH, Engkau izinkan aku ada zuriat bersamanya setelah sekian lama, tapi Engkau tak izinkan kami hidup bersama,” tulisnya.
Ramai warga maya meluahkan rasa sebak dan simpati atas ujian berat yang menimpa Farah, seorang wanita yang sejak dahulu dikenali dengan kisah hidup yang penuh ujian.
“Aku follow Fakhira ni dari kisah dia kemalangan sampai hilang ahli keluarga, sampai dia kahwin, berpisah, kahwin dengan arwah,Trying To Conceive (TTC) empat tahun, tahun ini ALLAH bagi zuriat tapi ALLAH ambil suami dia pula. Sedih sangat, beratnya ujian dia,” tulis Lenses Couture.
Ada juga yang menyifatkan arwah suaminya, Zaidul sebagai lelaki penyabar dan penuh kasih yang sentiasa menjadi pelindung buat Farah.
“Farah ni sangat manja dan clingy dengan suaminya, Zaidul Ariff. Masa pergi China, Zaidul orang paling sabar dan tenang. Mereka rancang nak dapat bayi tahun ini, Alhamdulillah ALLAH makbulkan… tapi ALLAH ambil Zaidul dulu. Kita yang baca pun sesak dada,” kongsi Puterikasim.
Tidak kurang juga yang mengagumi ketabahan Farah yang berkali-kali diuji kehilangan insan tersayang, namun tetap memilih untuk reda dan kuat.
“Ibunya pergi masa Farah masih muda. Dia pernah berpisah, kemudian kahwin semula dengan lelaki yang sangat baik. Dalam masa menunggu zuriat pertama, ALLAH ambil pula suaminya. Besarnya ujian buat seorang wanita bernama Farah Fakhira,” tulis Hazwaniche.
Rakan arwah pula, Azlanandi menyifatkan pemergian Zaidul sebagai satu ‘pemergian yang dicemburui’ selepas baru sahaja pulang mengerjakan umrah.
“Arwah baru balik umrah kelmarin, hari ni ALLAH jemput. Saya saksi arwah suami yang sangat baik, anak yang soleh, sahabat yang tenang. Maafkan aku, Zaidul. Aku janji nak singgah rumah korang malam tadi, tapi aku tangguh. Aku menyesal. Semoga ALLAH tempatkan kau di syurga Firdaus,” tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
