NAMA Happi Sleepi mungkin kedengaran seperti watak dalam filem animasi, namun itulah nama sebenar seorang pelajar di Temple University, Kampus Jepun (TUJ) yang kini menjadi perhatian ramai selepas kisahnya tular di media sosial universiti berkenaan.
Dalam satu video yang dikongsi di akaun rasmi Instagram TUJ, Happi memperkenalkan dirinya dengan penuh yakin, tetapi membuat ramai tersenyum apabila ada yang menyangka 'Happy' hanyalah perasaan, bukan nama.
"Hello I'm Happy. Itulah nama saya,” katanya.
Menurut Happi, nama unik itu diberi sendiri oleh bapanya yang mahu setiap anaknya tampil berbeza dan mudah diingati.
“Ayah saya suka beri nama istimewa supaya kami nampak unik. Saya dinamakan Happi-Sleepi sebab masa dalam kandungan saya selalu tidur,” jelasnya.
Namun, kisah menarik itu tidak berhenti di situ. Happi turut mendedahkan bahawa adik-beradiknya juga memiliki nama yang tidak kurang peliknya.
“Abang saya nama dia Jelli-Bean sebab masa imbasan kehamilan, bentuknya macam gula-gula jeli. Kakak saya pula Teiko’s Heart iaitu dinamakan sempena nama nenek kami, Teiko.
"Dan seorang lagi adik saya nama Happi-Tears, sebab dia macam versi kedua saya,” katanya.
Lebih mengejutkan, semua nama itu merupakan nama sah yang tertera dalam dokumen rasmi kerajaan mereka.
Walaupun kini mampu ketawa mengenang kisah tersebut, Happi mengakui zaman kecilnya penuh dengan cabaran.
“Saya pernah dibuli setiap hari kerana nama saya. Malah ada guru yang turut mengejek. Setiap kali perkenalkan diri, orang akan buat lawak dan saya terpaksa pura-pura ketawa supaya tak kecilkan hati mereka,” luahnya.
Namun perjalanan hidup itu mengajarnya untuk mencintai diri sendiri.
“Sekarang saya dah terima siapa saya. Nama saya pelik, tapi ia sebahagian daripada identiti saya. Saya bangga jadi Happi-Sleepi,” katanya.
Pelajar tahun pertama jurusan psikologi itu kini menetap di Jepun selepas disarankan oleh penasihat akademik untuk melanjutkan pelajaran di TUJ, kampus yang menawarkan pendidikan berteraskan sistem Amerika sambil mengekalkan suasana budaya Jepun.
Happi yang berdarah campuran Jepun dan Chamorro (Guam) turut berkongsi cabaran hidup dengan identiti dua budaya.
“Kadang-kadang saya rasa tak ramai yang sama macam saya. Tetapi saya selalu ingatkan diri yang kita semua manusia, tak kira latar belakang. Tiada siapa lebih hebat daripada yang lain,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
