Kuku tukar biru, hilang deria rasa, wanita nyaris maut gara-gara makan cendawan enoki, ini penjelasan pakar


  • Sihat
  • Rabu, 29 Okt 2025

Tubuh Ameliya (kiri) tiba-tiba menjadi lemah selepas menikmati cendawan enoki. — Gambar hiasan

MINAT untuk menikmati cendawan enoki hampir meragut nyawa seorang wanita, Ameliya, apabila badannya tiba-tiba menjadi lemah selepas menikmati hidangan berasaskan cendawan itu.

Dalam perkongsian di TikTok, Ameliya menjelaskan bahawa tidak lama selepas menjamah cendawan berkenaan, beliau mengalami simptom luar biasa seperti rasa panas pada perut, peningkatan asid perut, degupan jantung perlahan, pandangan kabur dan muntah berulang kali melebihi 10 kali.

Keadaannya bertambah serius apabila kuku mula bertukar kebiruan, tubuh menjadi sejuk dan seluruh deria rasa hilang.

“Saya terus ke Jabatan Kecemasan kerana keadaan semakin teruk. Doktor mengesahkan saya mengalami keracunan bakteria daripada cendawan enoki, selain asid perut naik akibat makanan pedas,” katanya.

BACA LAGI: 'Lahirnya seorang PASKAU dalam keluarga saya', Sultan Pahang bangga putera sulung tamat latihan kepakaran elit udara

BACA LAGI: Oki Setiana Dewi anggap Mesir tempat tepat untuk bentuk karakter anak, didik cintakan Al-Quran dan Palestin

Pemeriksaan lanjut mendapati gejala yang dialami berpunca daripada bakteria listeria monocytogenes yang terkandung pada cendawan tersebut.

Bakteria berkenaan boleh menyebabkan jangkitan serius pada sistem pencernaan dan darah, malah dalam kes tertentu boleh menyerang organ dalaman seperti hati dan otak.

Menurut laporan kesihatan, Listeria mampu hidup dalam suhu sejuk antara 1 hingga 44 darjah Celsius, menjadikannya sukar dihapuskan walaupun disimpan di dalam peti sejuk.

Namun, bakteria ini akan mati apabila terdedah kepada suhu tinggi sekitar 80 darjah Celsius, justeru cendawan enoki perlu dimasak dengan sempurna sebelum dimakan.

Ameliya turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan soal keselamatan makanan.

“Bagi penggemar cendawan enoki, pastikan ia dimasak dengan betul. Jangan ulang kesilapan saya,” ujarnya.

Pakar jelaskan risiko

Menerusi portal kesihatan Halodoc, Pakar Kesihatan, Dr. Rizal Fadli menjelaskan bahawa cendawan enoki tidak berbahaya sekiranya dipilih dan dimasak dengan cara yang betul.

Beliau berkata, cendawan yang dikenali secara saintifik sebagai Flammulina velutipes itu mengandungi pelbagai nutrien seperti vitamin B dan C, zat besi, selenium serta serat yang baik untuk sistem pencernaan dan imun badan.

Namun, katanya, kebersihan dan kaedah penyediaan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatannya.

Kaedah penyediaan enoki yang selamat

1. Pilih cendawan yang segar

Pastikan batang berwarna putih, tidak berlendir dan tidak berbau busuk. Elak mengambil cendawan yang lembik atau berubah warna.

2. Masak hingga benar-benar masak

Elakkan daripada memakan cendawan enoki dalam keadaan mentah. Pastikan ia direbus, dikukus atau ditumis hingga mencapai suhu tinggi bagi memastikan semua bakteria dapat dimusnahkan sepenuhnya.

3. Amalkan kebersihan semasa memasak

Cuci cendawan di bawah air mengalir dan pastikan tangan serta peralatan dapur bersih sebelum digunakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram