Sut pengantin jadi 'ruang iklan', disulami 26 logo syarikat penaja, macam-macam cara nak jimat kos majlis


  • Gaya
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Sut perkahwinan Renouf diubah suai dengan disulami logo daripada 26 syarikat yang bertindak sebagai penaja.

ZAMAN kini menyaksikan kos perkahwinan boleh naik mendadak sehingga melebihi bajet. Pun begitu, seorang pengantin lelaki memilih cara yang luar biasa untuk menguruskan kekangan kewangan.

Tindakannya tidak mengurangkan perbelanjaan atau guna duit simpanan, sebaliknya 'mewujudkan' peluang perniagaan dengan menjual ruang iklan pada sut pengantin digayakan pada majlis perkahwinan beliau.

Siapa sangka idea Dagobert Renouf sekadar gurauan akhirnya tular di media sosial dan menarik perhatian ramai klien.

BACA LAGI: 'Lampu pintar banjir', inovasi pelajar KV Shah Alam, beri amaran awal, elak kerugian rosak harta benda

BACA LAGI: 'Demam' pickleball, tampil bergaya bak pentas fesyen di gelanggang, sukan paling trending Malaysia

 Pada Julai lalu, usahawan dari Perancis itu mengumumkan rancangan untuk membiayai majlis perkahwinannya melalui tajaan.

Caranya mudah dengan menawarkan syarikat berminat meletakkan logo mereka pada sut yang disifatkan sebagai perbelanjaan pemasaran.

Walaupun kedengaran pelik pada awalnya, beberapa jenama tertarik dengan idea berani tersebut.

Selepas Renouf berkongsi idea beberapa syarikat pemula (startup) terus menerima tawaran berkenaan.

Dalam masa beberapa minggu sahaja, hampir semua ruang iklan pada sutnya berjaya dijual.

Sut itu kemudian dihantar untuk diubah suai dan menjelang hari perkahwinan pada 25 Oktober yang ia dipenuhi logo daripada 26 syarikat bertindak sebagai penaja.

Selesai majlis, Renouf menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menerusi hantaran di media sosialnya.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada 26 syarikat pemula yang membantu kami membiayai perkahwinan ini. Ia benar-benar satu hari yang indah," tulisnya.

Tular 

Idea luar biasa itu segera mencuri perhatian dalam talian. Ramai yang kagum dengan kreativiti dan cara pemikiran di luar kotak.

Seorang pengguna berkata, beliau terlepas peluang tersebut dan berharap akan diberitahu jika ada perkahwinan lain pada masa akan datang.

Ada juga yang bergurau bahawa orang pasti sukar percaya idea itu bukan hasil ciptaan kecerdasan buatan (AI).

Seorang lagi menyatakan rasa kagum terhadap semangat syarikat pemula yang dibawa ke majlis perkahwinan, sambil menyifatkannya sebagai cara terbaik meraikan komuniti dan mendoakan pasangan itu terus berjaya serta tidak sabar menantikan versi filem. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram