DI saat tubuhnya semakin lemah akibat kanser pankreas, seorang bapa di China tetap tenang menghadapi saat-saat terakhir hidupnya.
Dalam kesakitan, dia tidak berhenti mengajar anak perempuannya tentang satu perkara penting iaitu belajar menerima kehilangan dengan hati yang kuat.
Kisah lelaki berusia 67 tahun itu, dikenali sebagai Dong tular di media sosial selepas dikongsi oleh anak tunggalnya, Dong Sanbai dari Shanghai, China.
BACA LAGI: Siang sempat keluar makan bersama, malam suami dijemput Ilahi, tak sempat tatap wajah anak sulung

Dong bergambar bersama anak perempuannya, Sanbai sewaktu kecil.
Sanbai menceritakan bagaimana bapanya berdepan penyakitnya dengan penuh tenang.
Katanya, ayahnya tidak takut mati, sebaliknya mahu dia bersedia untuk hidup sendiri bila tiba masanya nanti.
“Ayah saya beritahu dengan nada tenang, dia hanya ada tiga hingga enam bulan lagi. Dia sering ulang perkara yang mungkin akan saya lalui selepas dia tiada.
"Macam mana tubuhnya akan semakin lemah, kurus dan bagaimana sakitnya akan bertambah. Dia mahu saya bersedia supaya nanti tidak terkejut,” kata Sanbai.
Dong sebelum ini pernah bekerja di Jepun dan menubuhkan syarikat pakaian sendiri selepas pulang ke China.
Namun, selepas disahkan menghidap kanser pankreas, dia menjalani beberapa kali rawatan tetapi tiada petanda bakal sembuh.
Akhirnya, dia membuat keputusan untuk berhenti rawatan dan memilih untuk hidup dengan cara yang lebih tenang.
“Dia mahu hidup dengan bermaruah dan berkualiti. Kami mahu dia terus melawan, tapi akhirnya kami hormati keputusannya,” ujar Sanbai.
Dalam video yang dikongsi pada 16 Oktober lepas, Dong dilihat tersenyum ketika berbual dengan anaknya tentang kehidupan dan kematian.
“Hidup ini untuk dinikmati. Bila takdir sudah tiba, tidak perlu menentangnya. Orang takut mati bukan kerana kematian itu sendiri, tetapi kerana proses menuju ke sana,” katanya.
Jangan sedih, anggap saja ayah pergi mengembara
Ketika Sanbai menangis kerana tidak sanggup kehilangan ayahnya, Dong menenangkannya dengan kata-kata yang cukup menyentuh hati.
“Jangan terlalu sedih. Anggap saja ayah pergi mengembara. Selagi kamu simpan ayah dalam hati, ayah akan sentiasa menemui jalan untuk pulang,” ujarnya Dong kepada anak perempuannya itu.
Dong juga berpesan kepada anaknya supaya terus menikmati hidup dengan berpenampilan cantik, ketawa dan mengembara seperti biasa.
Dia turut menyokong keputusan anaknya untuk tidak berkahwin atau mempunyai anak.
“Itu pilihan yang normal. Hidup kamu milik kamu,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
