KERUNTUHAN rumah tangga sudah menjadi sebuah kebiasaan kebelakangan ini apabila pelbagai kisah mengenainya dikongsikan di media sosial saban hari.
Antara punca utama di sebalik masalah itu adalah disebabkan kehadiran pihak ketiga yang cuba meleraikan kasih sayang pasangan suami isteri sehingga penceraian berlaku.
Tetapi, sekiranya suami isteri bersikap jujur dan tidak menyembunyikan sebarang konflik, keretakan itu dapat diselesaikan dan sekali gus mengelak keruntuhan rumah tangga.
BACA LAGI: China perkenal robot peneman AI bantu pasangan moden urus rumah tangga tanpa tekanan
BACA LAGI: Kamal Adli mahu pertahan rumah tangga, masih sayang Uqasha Senrose
Itulah apa yang dikongsikan pengguna Facebook, Ashman Mat Saleh yang berkongsi pengalaman bagaimana seorang lelaki cuba memikat isterinya untuk meninggalkan perkahwinan mereka.
Dalam hantaran yang dibuat pada Jumaat, pemilik akaun tersebut menyifatkan individu luar dimaksudkan mempunyai kekayaan harta yang disangka mampu menggoyahkan hubungannya.
"Bukan semua perempuan kau boleh beli dengan harta bang. Kalau bini aku ini gila harta, awal-awal lagi dia dah tinggalkan aku, sebab aku ni bukan kaya pun.
"Kerja pun sampai malam cari rezeki untuk mereka. Tetapi, Alhamdulillah, dia masih setia, anak pun sudah dua orang. Bini aku ini jenis tiada sorok-sorok mengenai WhatsApp, kami tiada rahsia sesama sendiri," tulisnya.

Keretakan rumah tangga boleh berlaku disebabkan kehadiran orang ketiga. — Gambar hiasan
Malah, jelas lelaki terbabit, kepercayaan antara suami isteri itu cukup baik kerana masing-masing mempunyai kata laluan aplikasi bank antara satu sama lain.
Perkongsian tersebut menceritakan bagaimana sikap saling mempercayai merupakan kunci di sebalik kebahagiaan rumah tangga yang mungkin tidak disedari orang ramai.
Dia turut mengingatkan individu yang cuba meretakkan hubungan mereka supaya tidak lagi menjadi 'orang ketiga' dalam perhubungan meskipun mempunyai kekayaan harta.
"Cukup-cukuplah perangai hendak memikat bini orang. Bukan main ramai lagi perempuan dekat luar sana tu, bini orang jugak kau nak cuba. Harta belum menjamin kebahagian bang, hati itu penting," tulisnya.
Hantaran itu jelas menerima respons baik daripada orang ramai, termasuk mereka yang menyedari sikap individu yang cuba meretakkan rumah tangga seseorang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
