‘Sempat bergurau Subuh itu, Asar dia sudah tiada’, adik pergi mengejut dalam dakapan ibu, kakak kongsi sifat arwah yang dirindui


  • Cinta
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Ibunya sedih apabila melihat anak bongsu yang manja dan sentiasa di sisinya itu rebah secara tiba-tiba di hadapan mata, sebelum menghembuskan nafas terakhir dalam dakapannya sendiri.

KEMATIAN secara mengejut sering meninggalkan luka yang sukar digambarkan. 

Begitulah yang dilalui oleh seorang wanita, Khairulfatin apabila kehilangan satu-satunya adik lelaki kesayangan, Muhammad Hakim Mohd Nayan yang meninggal dunia secara tiba-tiba pada usia 23 tahun.

Dalam perkongsiannya di laman Threads, Khairulfatin berkata, adiknya menjalani hari seperti biasa pada 18 Ogos 2025, tanpa sebarang tanda-tanda yang menunjukkan perkara buruk bakal berlaku.

“Baca tentang kematian mengejut ni buat aku teringat kat satu-satunya arwah adik aku umur 23 tahun. Dia jalani hari macam biasa. 

"Sempat WhatsApp aku subuh itu bergurau macam selalu. Asar, dia dah meninggal dunia. Sihat walafiat, makan tengah hari sama-sama dengan umi ayah, petang tu tiba-tiba rebah.

"Dia sempat peluk umi. Meninggal dunia dalam dakapan umi dan ayah. Umi sempat lafazkan syahadah,” tulisnya.

BACA LAGI: Kuku tukar biru, hilang deria rasa, wanita nyaris maut gara-gara makan cendawan enoki, ini penjelasan pakar

BACA LAGI: [VIDEO] Penuntut wanita diejek kerana nama ‘Happi Sleepi’, abang pula Jelli-Bean, ada sebab bapa pilih gelaran unik

Menurut Khairulfatin, arwah adiknya seorang anak yang sangat baik dan taat kepada ibu bapa. 

Sepanjang hayatnya, dia sentiasa membantu kerja rumah tanpa pernah mengeluh.

"Rutin dia kat rumah, dialah yang sidai baju, basuh baju, siram pokok. Tak pernah sekalipun tinggikan suara. Lembut tutur katanya, sangat sopan dan teratur. 

"Tak pernah dengar dia keluarkan kata kesat. Tak pernah bercinta, hidup dia hanya dengan umi dan ayah,” luahnya lagi.

Namun, momen paling menyayat hati bagi Khairulfatin adalah ketika melihat ibunya terluka dek pemergian anak bongsu itu.

“Paling sakit bila umi menangis, ‘adik, bangun adik’, tapi adik takkan bangun dah. Adik paling manja dan rapat dengan umi. Dia yang selalu pimpin tangan umi, teman ke mana saja. 

"Act of service dia dengan umi, kalah adik-beradik lain. Dia meratukan ibu kandung dia,” tulisnya.

Tambah Khairulfatin, sebulan selepas pemergian adiknya, dia bermimpi berjumpa dengan arwah dalam keadaan tenang dan berpakaian serba putih.

“Aku mimpi jumpa adik pakai baju putih bersih, sembang dengan aku sambil sengih-sengih, tapi aku tak boleh recall langsung perbualan kami. Insya-ALLAH adik dah berada di tempat yang baik,” ujarnya.

Perkongsiannya itu mengundang rasa sebak ramai pengguna Threads yang turut menzahirkan ucapan takziah dan doa.

“Allah panggil hamba-hamba-Nya yang baik pulang dulu. Insya-ALLAH arwah berada di taman-taman syurga di alam sana. Al-Fatihah," kata Oja Amir.

“Salam takziah sis dan keluarga. Moga arwah adik ditempatkan bersama orang soleh, dilapangkan dan diterangi rumahnya, diampunkan segala khilaf serta diterima segala amal ibadahnya. Aamiin. Kematian mengejut ni paling tak disangka," kata Solehazaini91. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram