China perkenal robot peneman AI bantu pasangan moden urus rumah tangga tanpa tekanan


  • Cinta
  • Rabu, 22 Okt 2025

China memperkenalkan AI sebagai anak digital kepada manusia menjelang 2035.

KERAJAAN China kini melangkah lebih jauh dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), bukan sekadar untuk kegunaan industri atau kerajaan, tetapi sebagai sebahagian daripada kehidupan rumah tangga termasuk menjadi peneman dan 'anak' kepada manusia menjelang 2035.

Di bawah pelan nasional jangka panjang yang dikenali sebagai inisiatif AI+, China merancang untuk menjadikan AI sebagai elemen penting dalam transformasi sosial yang menyeluruh, termasuk dalam membentuk gaya hidup baharu pasangan moden.

Para pakar menjelaskan bahawa dalam era tamadun pintar yang sedang dibina, struktur keluarga tradisional dijangka berubah. 

Kadar perkahwinan dan kelahiran yang semakin merosot dijangka berterusan, namun AI akan mengambil peranan sebagai penyokong emosi dalam rumah termasuk robot berbentuk manusia yang bertindak sebagai butler, haiwan peliharaan pintar, bahkan peneman hidup dan 'anak' digital.

“Apabila individu semakin berdikari dan AI mula meresap masuk ke dalam rumah, bentuk keluarga tradisional pasti akan berubah. AI boleh menjadi rakan, malah sebahagian daripada keluarga," kata Profesor He Zhe.

BACA LAGI: 'Effort' luar biasa, lelaki guna AI hasil 'trailer' ala animasi Disney lamar kekasih hati

BACA LAGI: Cinta berputik sejak remaja, suami isteri pencipta Barbie dan Hot Wheels ubah dunia permainan kanak-kanak

AI tidak lagi terhad kepada tugasan mudah, malah dijangka mampu membuat keputusan rumit dan berinteraksi secara emosi dengan manusia.

Bagi pasangan moden yang sibuk atau memilih gaya hidup berbeza, kehadiran 'anak AI' atau robot sebagai peneman dijangka menjadi kebiasaan. 

Ini termasuk kemampuan AI untuk memberi respons kepada keperluan emosi, mengingatkan jadual harian, atau membantu dalam penjagaan harian rumah tangga menjadikan teknologi ini sebagai ‘rakan hidup’ yang sentiasa hadir.

Walaupun idea ini mungkin kedengaran asing bagi sesetengah pihak, ia mencerminkan pendekatan holistik kerajaan China terhadap AI iaitu melihat teknologi bukan sekadar alat, tetapi sebagai sebahagian daripada kehidupan sosial dan emosi rakyat.

Namun begitu, pakar juga memberi amaran tentang risiko besar termasuk keruntuhan nilai kekeluargaan, pergantungan emosi terhadap mesin dan potensi pengasingan sosial. 

Walaupun begitu, China tetap yakin bahawa perubahan ini akan membawa masa depan yang lebih baik dan penuh peluang untuk rakyatnya.

AI kini semakin canggih sehingga mampu memahami keperluan manusia, meramal tingkah laku dan menyesuaikan diri dengan rutin harian. 

Disebabkan itu, rumah tangga di China pada masa depan mungkin akan disertai oleh 'ahli keluarga' berbentuk robot yang bukan sahaja membantu, tetapi juga memahami dan memberi sokongan emosi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram