Anak Sarawak ungguli pentas antarabangsa, juara rekaan kostum 'avant garde' inspirasi Wau Bulan


  • Gaya
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Kostum bertemakan Wau Bulan rekaan Mohammad Faris (dua dari kanan) diangkat sebagai pemenang utama di pertandingan seni fesyen antarabangsa WOW di Wellington, New Zealand. — WOW

SIAPA sangka, sentuhan kreatif anak muda Malaysia mampu menawan pentas antarabangsa.

Mohammad Faris Mohd Fairusham juga penuntut di Universiti Victoria, Wellington, New Zealand mengharumkan nama negara apabila dinobatkan pemenang tempat pertama bagi kategori Air Section dalam pertandingan seni fesyen berprestij dunia pada World of Wearable Art (WOW) yang berlangsung di negara tersebut.

Karya avant garde ciptaannya berinspirasikan Wau Bulan itu berjaya memukau juri dan penonton dengan gabungan keindahan budaya, ketelitian kraftangan serta nilai identiti yang terserlah pada setiap perincian rekaan.

BACA LAGI: Kreatif! Beg, pakaian guna plastik, tekstil kitar semula, pernah raih perhatian pereka fesyen, Gaurav Gupta

BACA LAGI: Hasil belajar kulinari di Seoul, redah pelbagai dugaan, kini Maryam-Ryzal buka cawangan ke-2 restoran sajian Korea

Dalam hantaran video dimuat naik oleh WOW di laman Instagram, rekaan tersebut memaparkan sayap gergasi yang direka dengan teliti membentuk bulan sabit dan ekor separa bulatan seperti pada wau tradisional sebenar.

Bentuknya yang melengkung diserikan lagi dengan renda emas da nrambu berkilauan.

Selain itu, motif flora menampilkan corak bunga bunga kebangsaan Malaysia, bunga raya dalam rona merah jambu turut menyerlah di bahagian sayap dan dada kostum.

Gandik emas bertatah batu permata merah di kepala pula melengkapkan keseluruhan penampilan.

Lebih menarik, memetik laporan agensi, bahagian korset rekaan Faris menggunakan batik Sarawak sebagai penghormatan kepada asal-usulnya dari Bumi Kenyalang itu dihiasi dengan sulaman halus serta taburan manik berwarna biru tua dan emas.

Mohammad Faris turut berkongsi bahawa beliau menyiapkan busana tersebut dalam tempoh singkat sambil bekerja sambilan, malah pernah menyambung kerja menjahit di tempat kerja sebelum berangkat menyertai program pertukaran pelajar ke Colombia.

Pertandingan WOW yang dianjurkan setiap tahun di Wellington merupakan antara pertunjukan seni boleh pakai paling berpengaruh di dunia.

Ia menghimpunkan ratusan pereka dari pelbagai negara untuk mempamerkan gabungan unik antara seni, fesyen dan persembahan pentas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram