Tak jemput rasa bersalah, hadir tidak dijemput lagi 'salah', pempengaruh kongsi adab ke majlis perkahwinan


  • Cinta
  • Khamis, 30 Okt 2025

Bagi Nadzirah (kiri) dan Anis, hadir tanpa jemputan atau menjemput orang lain tanpa izin pengantin dianggap kurang sopan dan tidak menghormati tuan rumah. — Instagram pempengaruh

HARI perkahwinan sepatutnya menjadi saat paling bahagia buat pengantin.

Namun, ada juga situasi yang boleh mencetuskan rasa tidak selesa.

Sebagai contoh, apabila muncul tetamu yang tidak dikenali, hadir ke majlis tanpa jemputan.

BACA LAGI: Pensyarah UMT sarung jubah pelbagai 'design', warna pada istiadat konvo, ada cerita di sebaliknya

BACA LAGI:  [VIDEO] Penuntut wanita diejek kerana nama ‘Happi Sleepi’, abang pula Jelli-Bean, ada sebab bapa pilih gelaran unik

Ofiellia (kiri) dan Azfar berpendapat, hadir tanpa jemputan atau menjemput orang lain tanpa pengetahuan pengantin bukan tindakan yang wajar. — Instagram pempengaruh

Justeru, wajarkah seseorang menjemput orang lain ke majlis perkahwinan tanpa pengetahuan tuan rumah atau lebih khusus pasangan mempelai?

Begitu juga sebagai individu yang dijemput, adakah wajar untuk penuhi jemputan tersebut?

Tiada common sense

Bagi pempengaruh Nadzirah Rahman, 32, tindakan itu dianggap tidak beradab dan kurang empati.

"Kalau dah tahu tak dijemput oleh tuan rumah sendiri tapi tetap datang, itu tandanya kurang common sense dan empati. Saya tak rasa itu tindakan yang wajar.

Menjawab persoalan jika individu yang menjemput itu adalah ahli keluarga terdekat, beliau yang gemar disapa 'Naddy' menjelaskan perkara itu bergantung kepada siapa yang menanggung majlis.

"Kalau ibu bapa yang bayar majlis mungkin tak apa, tapi kalau saya dan suami yang tanggung, orang yang nak jemput tu kenalah beritahu dulu," katanya ketika ditemui Majoriti di Bangsar, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Tambahnya, walaupun niat mungkin baik, ia tetap perlu dilakukan dengan izin pengantin.

Minta izin tuan rumah

Sementara itu, pempengaruh Nur Anis, 32, lebih terbuka dalam hal ini.

"Kalau orang tu datang tanpa jemputan, memang rasa janggal. Tapi kalau dia dah sampai, saya halalkan saja makanan tu.

"Cuma kalau sampai menyusahkan tetamu lain, barulah tak wajar," ujarnya.

Beliau turut mengulas pandangan sebagai individu yang dijemput bukan secara langsung oleh tuan rumah.

Tegas Anis, dirinya tidak akan menghadiri majlis berkenaan tanpa jemputan rasmi.

"Saya sebagai orang yang ada pendirian, kalau saya tak kenal pengantin, saya memang takkan pergi," tegasnya.

Selain itu, pempengaruh, Azfar Heri, 27, juga menganggap kedua-dua perbuatan menjemput tanpa izin serta hadir tanpa pengetahuan pengantin sebagai tidak wajar.

Namun akuinya, beliau masih boleh menerima kehadiran tetamu terlibat selagi mana kelibat mereka tidak diketahuinya.

"Secara jujurnya saya marah. Kalau datang sebagai plus one, masih okey. Tapi, kalau tiba-tiba muncul tanpa dalam senarai, memang pelik," katanya.

Bagi pempengaruh, Ofiellia Iskandar, 32, pula beliau mengakui akan berasa kecewa jika situasi sama berlaku padanya.

"Memang tak patut jemput orang tanpa pengetahuan pengantin. Tapi nak halau depan orang pun tak manis. Biar saja duduk, cuma dalam hati memang terasa," tegas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram