ISTIADAT Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-23 menarik perhatian apabila beberapa pensyarah tampil dengan jubah akademik berbeza reka bentuk dan warna yang masing-masing membawa identiti universiti tempat mereka menuntut ilmu.
Momen itu dikongsikan menerusi satu video dimuat naik oleh insititusi berkenaan di Instagram.
Seorang demi seorang pensyarah ditemui teruja dan bangga memperkenalkan jubah yang mereka gayakan dalam meraikan detik istimewa tersebut.
BACA LAGI: Unik dan mewah, 6 kek perkahwinan selebriti pernah jadi tumpuan ramai
BACA LAGI: Nadirah, Nadiah kembar hijab pertama Singapura cipta sejarah arena gusti profesional
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor universiti berkenaan menghadiri istiadat konvokesyen tersebut.
Berikut antara gaya jubah akademik para pensyarah yang mencuri perhatian sepanjang istiadat tersebut:
1. Universiti Nottingham, United Kingdom (UK)
Pensyarah lulusan Universiti Nottingham, United Kingdom tampil elegan dalam jubah merah tua dengan jalur biru lembut pada bahagian depan dan hood.
Lengan jubah tersebut menampilkan rekaan lebar seperti baju kelawar.
2. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula, jubah merah ungu terang digandingkan dengan lapel biru cyan bercorak diamond sulaman emas.
Bahagian lengannya juga menampilkan sulaman emas.
3. Universiti Sheffield, UK
Bagi pensyarah lulusan Universiti Sheffield, jubah yang ditampilkan rona merah terang dengan jalur hijau teal pada bahagian depan dan hood.
4. Universiti Lincoln, New Zealand
Pensyarah graduan daripada Universiti Lincold, New Zealand pula tampil gaya hierarki tinggi dengan jubah hitam pekat, panel biru navy dan hood kuning cerah melintang di bahagian dada.
5. Universiti Southern Cross, Australia
Sementara itu, jubah biru royal pekat daripada Universiti Southern Cross, Australia menyerlahkan gaya moden dan cerah dengan panel kuning di bahagian depan.
6. Universiti Auckland, New Zealand
Pensyarah berkelulusan Universiti Auckland, New Zealand pula tampil dengan gaya Cambridge klasik, iaitu jubah hitam dengan jalur merah terang di bahagian depan serta kemasan emas di tepinya.
Jubah tersebut turut menampilkan perincian ikatan reben pada bahagian hadapan, menggantikan butang tradisional untuk sentuhan lebih elegan.
7. Universiti Pannonia, Hungary
Pensyarah lulusan Universiti Pannonia, Hungary, memperlihatkan gaya minimalis moden berwarna hitam, diserikan dengan jalur biru di bahagian depan serta butang ala cheongsam rona sama.
Rekaan itu menampilkan potongan lengan tiga suku yang lebih ringkas serta professional.
8. University College Cork (UCC), Ireland
Akhir sekali, gaya Universiti College Cork, Ireland menyerlah dengan jubah merah terang yang dihiasi jalur hijau teal dan biru laut, disempurnakan dengan kemasan baldu tebal yang menambah sentuhan mewah dan berprestij.
Istiadat Konvokesyen UMT ke-23 itu berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober lalu di Dewan Sultan Mizan.
Majlis penuh istiadat tersebut meraikan seramai 2,539 graduan daripada pelbagai bidang pengajian, termasuk 254 graduan pascasiswazah dan 2,285 graduan prasiswazah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
