'Wanita OKU bangkit, ibu berniaga sambil jaga anak', bisnes makin maju bimbingan Usahanita Digital, tembus pasaran Brunei, China


  • Cinta
  • Khamis, 30 Okt 2025

Nor Farah Fazrita (tiga dari kanan) dipilih sebagai Ikon Usahawan Digital 2025.

DARI suri rumah hingga ibu tunggal yang dahulunya tidak yakin dengan kemampuan diri kini mampu menjana pendapatan sendiri.

Kejayaan itu hasil bimbingan daripada program Usahanita Digital dikendalikan Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Program keusahawanan tersebut semakin mendapat sambutan apabila ramai wanita muda dan ibu tunggal berjaya meningkatkan taraf hidup melalui peluang perniagaan secara digital.

BACA LAGI: Kuku tukar biru, hilang deria rasa, wanita nyaris maut gara-gara makan cendawan enoki, ini penjelasan pakar

BACA LAGI: [VIDEO] Penuntut wanita diejek kerana nama ‘Happi Sleepi’, abang pula Jelli-Bean, ada sebab bapa pilih gelaran unik

Siti Faridah Abdul Samad merupakan Ketua Pegawai Eksekutif WBS. 

Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Abdul Samad berkata, tujuan utama program itu adalah untuk membantu lebih ramai wanita terlibat dalam dunia digital sama ada baru bermula atau ingin mengembangkan perniagaan.

“Kita mahu wanita bukan sekadar tahu menggunakan media sosial, tetapi mampu menguruskan perniagaan secara profesional bermula daripada pemasaran digital, e-dagang sehingga pembangunan jenama dan strategi kewangan,” katanya kepada Majoriti. 

Antara kisah kejayaan yang mencuri perhatian ialah Nurul Shamira Mohd Rosli, seorang ibu tunggal yang pada awalnya tidak pernah berniaga. 

Berbekalkan kemahiran menghasilkan kraf tangan, Siti Faridah berkata, Nurul Shamira kini mampu melonjakkan pendapatan selepas mempelajari cara memasarkan produk secara dalam talian.

"Nurul Shamira menghasilkan produk kraf tangan dari rumah sambil jaga anak-anak," jelasnya lanjut. 

Turut membanggakan juga ialah Nor Farah Fazrita, pengusaha spa urutan rotan yang berjaya menembusi pasaran luar negara selepas menyertai program tersebut.

“Melalui latihan dan bimbingan digital, pelanggan dari Thailand sanggup turun ke Malaysia untuk belajar dengan perkhidmatannya. Dia buat perkhidmatan urutan menggunakan rotan. Tekniknya kini dibawa ke Thailand. 

"Ramai lagi peserta mampu melonjakkan perniagaan sampai ke Brunei dan China,” ujarnya.

Berbeza daripada kebanyakan bengkel keusahawanan lain, Usahanita Digital menekankan latihan secara praktikal.

Peserta didedahkan kepada pembangunan laman web, penghasilan kandungan media sosial, pengurusan jualan dalam talian dan pemahaman asas aliran tunai perniagaan.

Dalam edisi 2025, seramai 81 peserta diberi peluang memasarkan produk mereka melalui Bazar Usahanita Digital, selain menerima bimbingan terus daripada pakar industri.

WBS turut bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC), Platform Selangor (PLATS) dan Yayasan Hijrah Selangor bagi membuka akses kepada pembiayaan, latihan lanjutan serta jaringan perniagaan.

Program itu turut membantu wanita yang tidak mempunyai modal besar untuk memulakan perniagaan. 

Pendekatannya mudah iaitu kebanyakan aktiviti dijalankan secara dalam talian, yang membolehkan mereka berniaga dari rumah tanpa beban kos tinggi.

“Ramai peserta bermula dari kosong. Ada yang tidak pernah mempunyai akaun media sosial pun, tetapi selepas latihan sudah mampu membuka kedai dalam talian di Shopee atau TikTok Shop,” katanya lagi.

Bukan sekadar peroleh pendapatan, tetapi keyakinan diri

Lebih daripada sekadar menjana pendapatan, program ini turut membina semula keyakinan diri wanita yang pernah terkesan akibat kemiskinan atau kehilangan pekerjaan.

Siti Faridah berkata, Ikon Usahanita Digital 2024, misalnya, merupakan seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) yang menjalankan perniagaan barangan rumah (homeware) dan berjaya bangkit selepas menyertai program tersebut.

“Kami melihat perubahan besar daripada wanita yang dahulu tidak yakin untuk bercakap di hadapan orang ramai, kini mereka mampu membentangkan pelan perniagaan di depan panel profesional,” ujar Siti Faridah.

Peluang terbuka kepada semua wanita Selangor

Bagi yang berminat, penyertaan dibuka kepada wanita berumur 21 hingga 45 tahun, lahir atau bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya tiga tahun.

Permohonan boleh dibuat melalui laman web rasmi Wanita Berdaya Selangor, atau di Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap DUN.

Dengan sokongan mentor, latihan percuma dan peluang menembusi pasaran digital, program ini terbukti menjadi titik mula bagi ramai wanita untuk berdikari,  malah ada yang kini menjadi pembimbing kepada peserta baharu.

“Apabila wanita diberi ilmu, peluang dan keyakinan, mereka bukan sekadar bangkit, tetapi mampu mengubah kehidupan orang lain juga,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram