PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Konduktor Orkestra Tradisional, Mohd Yazid Zakaria yang dilaporkan meninggal dunia pada tengah hari Rabu.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook, Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai insan seni berjiwa luhur yang telah memberikan sumbangan besar dalam dunia muzik tradisional tanah air.
BACA LAGI:‘Soundtrack’ pilihan PMX angkat melodi khazanah negara, bintang legenda curi tumpuan delegasi ASEAN
BACA LAGI:Impian remaja jadi nyata, Sarimah Ibrahim bakal kendali Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
"Menerima khabar duka mengenai pemergian Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional yang bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN baru-baru ini.
"Sesungguhnya, pemergian ini merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tempatan tatkala Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa," katanya di laman Facebook pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut merakamkan penghargaan atas segala jasa dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara, sambil menyifatkan dedikasinya sebagai sumber inspirasi buat generasi mendatang.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Mohd Yazid yang sedang berdepan ujian berat terutama apabila dimaklumkan bahawa anakanda Allahyarham bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini.
“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.
Menurut laporan media tempatan, Mohd Yazid dilaporkan rebah semasa menerima rawatan di sebuah klinik sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
Sebelum ini, Allahyarham menyumbangkan kepakarannya pada Majlis Makan Malam Gala pada Selasa bagi meraikan pemimpin ASEAN dan rakan dialog sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Majlis itu menjadi platform bagi diplomasi budaya yang menonjolkan semangat keterangkuman dan solidariti dalam keluarga ASEAN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
