SEBUAH rakaman video pendek tular di media sosial merakamkan detik keakraban dan sikap penuh prihatin ditunjukkan oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang dilihat memimpin serta menggenggam tangan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, semasa baginda menuruni pentas utama di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad.
Aksi yang dirakam dalam video dan tular di media sosial itu berlaku sejurus selepas sesi bergambar bersama pemimpin-pemimpin negara ASEAN yang lain di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ramai melihat tindakan Prabowo, sebagai isyarat hormat yang tinggi serta langkah berhati-hati bagi memastikan keselamatan Sultan Hassanal Bolkiah yang kini berusia 79 tahun.
BACA LAGI: ‘Soundtrack’ pilihan PMX angkat melodi khazanah negara, bintang legenda curi tumpuan delegasi ASEAN
Keperihatinan Presiden Prabowo itu bukan tanpa sebab, kerana ia hadir hanya beberapa hari selepas Sultan Brunei dilaporkan berdepan detik cemas di negaranya sendiri.
Baginda Sultan Brunei dilaporkan terjatuh ketika menuruni tangga semasa menghadiri majlis konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 17 Oktober lalu.
Insiden mengejutkan itu berlaku di hadapan ribuan hadirin, termasuk graduan dan tetamu kehormat, meskipun baginda dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
Kejadian tersebut, bersama laporan media sebelum ini mengenai baginda yang kelihatan penat dan memerlukan rehat tambahan semasa menghadiri acara padat di Malaysia, menguatkan lagi alasan mengapa pemimpin negara serantau perlu lebih berwaspada.
Sikap Prabowo yang segera menghulurkan tangan dan menggenggam erat tangan pemimpin yang lebih senior itu dilihat sebagai langkah protokol proaktif dan terpuji.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara Malaysia dari 26 hingga 28 Oktober itu disifatkan sebagai perhimpunan serantau yang bersejarah.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berjaya menghimpunkan 11 pemimpin negara anggota, termasuk penerimaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota baharu blok tersebut.
Perhimpunan itu turut diserikan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin dunia dan Rakan Dialog, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang tiba bagi Sidang Kemuncak ASEAN-AS.
Selain itu, Perdana Menteri China, Li Qiang dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong adalah antara pemimpin utama yang turut hadir.
Sidang Kemuncak itu mencatat kejayaan diplomatik besar apabila Malaysia menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, yang mengesahkan peranan Malaysia sebagai kuasa diplomatik disegani di pentas global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
