PELAKON dan pendakwah terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi kini menetap di Mesir sejak September 2024 bagi melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dalam jurusan Usuluddin.
Menariknya, beliau tidak berangkat seorang diri, sebaliknya membawa bersama ibunya dan kesemua anaknya agar sama-sama menimba ilmu dan merasai kehidupan dalam suasana Islamik di bumi para anbia itu.
Anak sulungnya, Maryam Nusaibah Abdullah kini bersekolah di Al-Azhar, manakala dua lagi anaknya menuntut di sekolah antarabangsa.
“Alhamdulillah, saya kini belajar di Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Usuluddin.
"Saya membawa anak-anak saya semua untuk belajar di sini kerana saya ingin mereka hidup dalam lingkungan yang Islami dan mencintai ilmu,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: MonaLesa Brackett cipta sejarah finalis berhijab pertama Miss USA, angkat impian arwah ibu
Bagi Oki, Mesir bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi juga medan untuk membentuk karakter anak-anak agar mencintai Al-Quran dan menghargai ilmu pengetahuan.
“Mesir ini negara yang budaya belajarnya sangat tinggi. Anak-anak di sini terbiasa menghafal dan mempelajari Al-Quran setiap hari.
"Saya ingin anak-anak saya, apa pun cita-cita mereka nanti, tetap memiliki karakter orang yang suka belajar dan dekat dengan agamanya,” tambahnya.
Menurut Oki, beliau baru sahaja setahun menetap di Mesir dan masih mempunyai tiga tahun lagi untuk menamatkan pengajiannya.
Namun, Oki tidak menolak kemungkinan untuk menyambung ke peringkat sarjana (master).
“Saya akan pulang ke Indonesia kebiasaan pada musim panas, sekitar bulan Julai hingga September. Mesir adalah tempat saya menuntut ilmu, sementara negara lain adalah tempat saya mengabdikan dan menyebarkan ilmu itu,” katanya.
Apa yang membuatkan Oki selesa menetap di Mesir ialah pendekatan pendidikan di sana yang menekankan hafalan Al-Quran serta disiplin ilmu sejak kecil.
“Yang saya suka tentang Mesir, anak-anak terbiasa dengan hafalan Al-Quran. Bila pulang dari sekolah, mereka masih sempat melakukan pelbagai aktiviti lain, tetapi tidak lupa dengan al-Quran,” katanya.
Mengulas soal perkembangan semasa, Oki kembali ke dunia lakonan menerusi filem Hayya 3: Gaza, sebuah karya bertema kemanusiaan yang mengetengahkan isu penderitaan rakyat Gaza.
“Kehadiran saya dalam filem ini bukan sekadar berlakon, tetapi juga sebahagian daripada misi kemanusiaan yang ingin saya suarakan,” jelasnya.
Melalui kehidupannya kini, Oki bukan sekadar menunjukkan teladan sebagai seorang ibu dan pendakwah, tetapi juga sebagai wanita yang menjadikan ilmu dan kemanusiaan sebagai warisan berharga untuk anak-anaknya.
Menariknya, kehidupan di Mesir turut membuka mata Oki dan anak-anak terhadap isu kemanusiaan, khususnya penderitaan rakyat Palestin yang bersebelahan dengan Mesir.
“Ramai pelarian Palestin tinggal di Mesir, ada yang terpisah dengan keluarga.
"Bila melihat anak-anak Gaza yang kelaparan, saya mahu anak-anak saya sendiri melihat hal itu agar mereka lebih bersyukur dan timbul rasa ingin membantu,” katanya.
Oki berkata, baru-baru ini, dia juga sempat membawa anak-anaknya mengunjungi masjid Al-Aqsa, Palestin agar membolehkan anak-anak lebih faham dengan kisah di Palestin.
"Anak-anak saya jadi lebih faham apa yang sebenarnya terjadi di Palestin," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
