KEBAWAH Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga apabila putera baginda, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Khas Udara (PASKAU) Siri 32/25.
Kejayaan itu sekali gus melakar sejarah sebagai kerabat Diraja Pahang pertama menamatkan latihan kepakaran elit udara berkenaan.
Sultan Pahang dalam titah baginda menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu detik istimewa buat keluarga Diraja Pahang.
“Saya anggap hari ini satu hari yang cukup istimewa bagi saya dan keluarga saya kerana dapat melihat dengan bangga lahirnya seorang PASKAU daripada kalangan keluarga saya.
"Mudah-mudahan ramai lagi PASKAU akan dilahirkan daripada keluarga saya,” titah baginda.
BACA LAGI: MonaLesa Brackett cipta sejarah finalis berhijab pertama Miss USA, angkat impian arwah ibu

Majlis itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis penutup kursus berprestij tersebut berlangsung di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang dan disempurnakan sendiri oleh Sultan Pahang yang juga Kolonel Yang Dipertua Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dalam majlis itu, baginda turut berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat Mejar TUDM kepada Tengku Mahkota Pahang.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YHM Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.
Majlis turut menyaksikan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM menerima Beret Biru, Lanyard Biru dan Dagger PASKAU bersama-sama Tengku Mahkota Pahang selepas kedua-duanya menamatkan latihan kepakaran tersebut.
Dalam satu hantaran berasingan di media social rasmi Kesultanan Pahang, turut dikongsikan detik-detik Tengku Mahkota Pahang menerima hadiah beg Skydive daripada Persatuan Veteran PASKAU sebagai tanda penghargaan atas kejayaan baginda melaksanakan Latihan Penerjunan Bebas (Selective Training Record - STR) di Pangkalan Udara Gong Kedak pada September lalu.
Persembahan hadiah itu turut disaksikan oleh Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang ketika baginda berdua berkenan bercemar duli menyempurnakan majlis penutup kursus berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
