Tiga pelajar 16 tahun cipta sistem penggera api lengkap kipas pengudaraan dan bukaan laluan keselamatan, bukti potensi pendidikan TVET


  • Hias
  • Isnin, 27 Okt 2025

Pelajar SMT Kuantan berjaya mencipta FEAES, sistem keselamatan rumah berkos rendah yang automatik membuka pintu kecemasan dan mengaktifkan pengudaraan bagi melindungi nyawa ketika kebakaran.

KETIKA sistem penggera kebakaran konvensional hanya mampu mengeluarkan bunyi amaran, tiga pelajar Sekolah Menengah Teknik Kuantan (SMT Kuantan) tampil dengan penyelesaian baharu yang lebih proaktif, iaitu Fire Emergency Alarm Escape System (FEAES).

Ciptaan pintar yang menggabungkan pengesanan automatik dengan bantuan mekanikal itu telah menarik perhatian pengunjung di Karnival Pendidikan TVET Madani 2025, yang berlangsung di KSL Esplanade Mall pada Ahad.

FEAES bukan sekadar penggera, tetapi merupakan sistem keselamatan yang direka untuk melindungi nyawa, terutamanya di kemudahan berisiko tinggi seperti asrama sekolah atau di rumah yang didiami warga emas dan kanak-kanak.

BACA LAGI: [VIDEO] Risau insiden jatuh berulang, gelagat Presiden Indonesia pimpin tangan Sultan Brunei turun pentas raih pujian warganet

BACA LAGI: Trend 'colour capping' bakal ganti 'colour drenching’, ruang nampak lebih luas apabila siling dicat warna gelap

Tiga pelajar tingkatan empat yang bertanggungjawab menghasilkan inovasi ini ialah Muhd Aiediq Muhaimin Mohamad Zawawi, Ahmad Fahim Luthfi Mohamad Safri dan Muhammad Aniq Fikri Azman, yang kesemuanya berusia 16 tahun.

Menurut Muhd Aiediq, walaupun penggera tradisional hanya memberi amaran kepada penghuni, sistem FEAES ini bertindak secara langsung dan automatik berdasarkan penderia.

"Kami mereka FEAES ini dengan dua mod penderiaan utama. Sensor pengesan asap akan mengaktifkan kipas pengudaraan untuk membantu meminimumkan risiko sesak nafas.

"Pada masa sama, sensor nyalaan pula menghasilkan bunyi buzzer kuat dan yang paling penting, ia mengaktifkan dua motor servo untuk membuka pintu keluar secara automatik," katanya ketika ditemui Majoriti.

Sistem yang proaktif itu memastikan laluan melarikan diri tersedia dan mudah diakses, membolehkan penghuni yang berada dalam keadaan panik, warga emas dan kanak-kanak merangkak keluar dengan selamat.

"Bayangkan jika api berlaku di dapur pada waktu malam. Alarm akan berbunyi mengejutkan semua dan pintu kecemasan automatik terbuka.

Ini menjimatkan masa yang amat kritikal apabila laluan telah tersedia dan mudah diakses oleh sesiapa sahaja, terutamanya mereka yang sukar bergerak pantas," tambah Ahmad Fahim Luthfi.

FEAES menawarkan penyelesaian keselamatan kebakaran yang holistik, menangani ancaman api dan asap tebal dalam satu sistem.

Muhammad Aniq Fikri pula menegaskan bahawa kelebihan utama FEAES ialah fokusnya untuk membuka laluan keluar dengan pantas, berbeza dengan sistem amaran konvensional yang selalunya lebih mahal.

"Sistem amaran konvensional di pasaran harganya lebih mahal berbanding FEAES. Sistem kami ini lebih mementingkan langkah membuka jalan kepada penghuni yang sedang panik dengan cepat.

"Memandangkan ini adalah inovasi untuk rumah, kami pastikan aspek kos dan pemasangan adalah sangat mudah," katanya.

Selain itu, sistem ini turut dilengkapi dengan lampu LED yang berfungsi sebagai penunjuk laluan melarikan diri, meningkatkan keterlihatan dalam keadaan gelap atau berasap.

Dengan menyepadukan pengesanan, pengudaraan, keterlihatan serta bantuan pelarian mekanikal dalam satu sistem, FEAES menawarkan jawapan yang berpatutan dan boleh dipercayai untuk peningkatan keselamatan kebakaran di kediaman.

Bagaimanapun, trio itu mengakui proses pembangunan sistem ini tidak mudah.

"Cabaran teknikal terbesar yang kami hadapi adalah semasa membuat 'coding'. Ia memerlukan ketelitian bagi memastikan semua sensor berfungsi dengan pantas dan serentak untuk tindak balas yang efektif," ujar Muhd Aiediq Muhaimin.

Dalam konteks keselamatan kebakaran domestik, FEAES membawa satu evolusi ketara berbanding sistem amaran semata-mata.

Menerusi reka bentuk ini, tiga kebaikan utama yang ditawarkan oleh FEAES adalah:

1. Pengurangan keputusan manusia: Dalam situasi kebakaran, keputusan untuk mencari kunci atau menolak pintu sering kali terhalang oleh rasa panik dan tekanan masa. FEAES menghapuskan faktor ini dengan membuka laluan keluar secara automatik, membenarkan penghuni terus bergerak ke zon selamat tanpa membuang masa mencari jalan.

2. Meningkatkan peluang kelangsungan hidup golongan terdedah: Bagi warga emas yang mungkin bergerak perlahan atau kanak-kanak yang terperangkap dalam keadaan takut, setiap saat adalah kritikal. Fungsi kipas pengudaraan (meminimakan asap) dan pembukaan pintu automatik secara langsung memberi peluang tambahan kepada golongan ini untuk keluar sebelum keadaan menjadi sesak nafas dan terlalu panas.

3. Keselamatan menyeluruh: Kebakaran bukan hanya tentang api, tetapi juga tentang asap tebal yang membunuh. FEAES menangani kedua-dua ancaman iaitu mengesan api untuk membuka laluan keluar dan mengesan asap untuk mengurangkan risiko sesak nafas. Penyepaduan pengudaraan, amaran serta laluan keluar dalam satu pakej menjadikan ia satu sistem keselamatan kebakaran yang lebih holistik dan berkesan.

FEAES kini dilihat sebagai satu inovasi keselamatan baharu yang perlu dipertimbangkan untuk pemasangan di setiap rumah dan kemudahan awam, kerana ia menawarkan mekanisme bantuan langsung yang amat diperlukan sewaktu detik cemas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram