'Tak suka sejarah, tapi fesyen perlu kajian', Kel Wen 'hidupkan' warisan menerusi Behati


  • Gaya
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Kel Wen menyifatkan detik Tugu Negara sebagai momen paling dekat dengan hati beliau di KLFW 2025. — Instagram/@behati.my

FESYEN berperanan dalam memelihara dan menghidupkan semula cerita serta warisan budaya.

Ia bukan sekadar soal rupa bentuk atau trend semasa tetapi juga cara untuk mengekalkan identiti dan menceritakan kisah generasi terdahulu melalui kain, corak dan rekaan.

Di Malaysia, antara jenama tempatan yang terkenal dengan rekaan Nusantara ialah Behati.

BACA LAGI: [VIDEO] Comel berbaju kurung moden, idea 'last minute' ibu siapkan 3 puteri kembar raih pujian

BACA LAGI: [VIDEO] Gotong-royong hias 'mini muzium Hari Kebangsaan', semangat patriotik terus mekar

Kel Wen.

Lebih lapan tahun dalam industri fesyen, Behati membawa identiti Malaysia melalui gabungan tradisi dan moden.

Terbaharu, label itu menampilkan koleksi baharu di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2025) yang mengetengahkan uniform sekolah sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Antaranya, rekaan yang dieragakan oleh penyanyi, Mimifly diinspirasikan oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lengkap dengan songkok.

Pengasasnya, Kel Wen menjelaskan, koleksi tersebut menekankan motivasi dan cita-cita besar.

 

"Saya memilih Tunku Abdul Rahman kerana beliau simbol kepimpinan dan semangat merdeka.

"Rekaan berkenaan mencerminkan semangat dan motivasi yang ingin disampaikan melalui fesyen," katanya kepada Majoriti.

Selain rekaan itu, koleksi Behati di acara fesyen berprestij tersebut turut menampilkan rekaan pinafore berwarna biru yang mana bahagian bawahnya menyerupai blazer sebagai simbol semangat pelajar yang mengejar cita-cita tinggi.

Katanya, rekaan itu mengambil inspirasi daripada prom queen.

Rekaan lain dalam koleksi itu juga mempamerkan elemen tradisi Nusantara seperti songket, pua kumbu dan saree.

Mengulas lanjut, beliau berkongsi momen paling menyentuh hati ketika di KLFW 2025, iaitu persembahan penutup bertemakan Tugu Negara.

"Ia benar-benar satu keajaiban kerana kami langsung tidak ada rehearsal. Mengumpulkan semua orang dan menjayakan persembahan itu adalah sangat mencabar. Tetapi apabila ia berjaya, detik itu sangat menyentuh hati saya," ujar pereka berusia 31 tahun itu.

 

Tidak hanya itu, koleksi berkenaan turut diinspirasikan daripada lagu Serumpun nyanyian Mimifly yang asalnya dihasilkan sempena hari raya tetapi diolah semula dengan lirik khas untuk persembahan KLFW.

Menurut Kel Wen, makna lagu itu mewakili tema koleksi tahun ini, iaitu semangat kebersamaan dan komuniti.

"Saya terlibat menulis lirik baru bersama Mimifly untuk persembahan penutupan yang menekankan semangat komuniti,"kata beliau.

Selain itu, beliau menekankan bahawa setiap elemen dipilih melalui kajian mendalam supaya gabungan dengan rekaan moden dapat diterima ramai.

"Cabaran terbesar adalah memastikan orang menerima gabungan baju tradisional dan moden dalam rekaan berkenaan.

"Setiap musim, saya cuba memperkenalkan inovasi baharu tanpa menghilangkan identiti budaya kita," jelas beliau.

Menurut beliau, peranannya bukan sekadar menghasilkan pakaian cantik tetapi juga memelihara dan mengangkat warisan pelbagai budaya di Malaysia.

Menyedari rekaannya memerlukan kajian sejarah, Kel We yang pada awalnya bukan peminat sejarah, sanggup mendalami bidang itu demi Behati.

"Saya tidak gemar subjek Sejarah. Saya belajar sejarah fesyen kerana Behati. Kadang-kadang, kita hanya memerlukan tujuan untuk tahu apa yang kita belajar,” jelas beliau.

Beliau menambah, proses kreatifnya melibatkan kajian menyeluruh termasuk membaca buku, melihat gambar lama dan lawatan ke muzium serta bengkel pembuatan pakaian tradisional.

"Selalunya, saya hanya mengambil kira-kira 10 jam untuk rekaan. Sebahagian besar masa dihabiskan untuk membaca dan melihat lebih banyak gambar Melayu lama," katanya berseloroh.

Kel Wen juga berkongsi bahawa versi 2.0 koleksi tersebut akan diperkenalkan secara dalam talian mulai 31 Ogos.

Melalui rekaannya, beliau berharap pemakai berasa bangga dan terinspirasi ketika memakai Behati.

"Ia bukan sekadar fesyen tetapi juga membawa mesej tentang warisan dan identiti kita," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram