
PENTAS Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 baru sahaja melabuhkan tirainya Ahad lalu, sekali gus meninggalkan kesan yang memukau bagi peminat fesyen tempatan.
Acara yang berlangsung selama seminggu bermula 4 Ogos sehingga 10 Ogos di Kuala Lumpur itu menampilkan pelbagai rekaan unik daripada pereka tempatan daripada siluet klasik yang diolah semula hingga ke gaya moden.
Selain peragaan yang mengagumkan, perhatian juga tertumpu kepada selebriti undangan mempamerkan pilihan busana mereka dengan penuh gaya dan personaliti.
BACA LAGI: Untungnya pembantu peribadi Intan Najuwa, naik penerbangan 'first class', cuti bersama ke London
Berikut enam gaya selebriti pilihan Majoriti:
1. Ummi Nazeera
Pelakon, Ummi Nazeera tampil anggun dengan busana dari Behati yang dipadankan dengan tudung panjang kelabu dan blazer oversized.
Penampilan itu dilengkapkan dengan seluar ketat gelap dan but tinggi. Latar tangga gelap menambah kontras yang menambah aura gaya beliau.
2. Daiyan Trisha
Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha memukau dengan baju hitam berkolar tinggi tanpa lengan dan skirt panjang gabungan rona hitam putih yang mempunyai motif seperti tumpahan cat.
Beg tangan kecil hitam dari Valentino dan kasut tumit tinggi melengkapkan gayanya yang tampak chic dan mewah.
3. Adriana Adnan
Pengacara dan pernsonaliti televisyen, Adriana Adnan menggayakan busana rekaan ShazNash.
Rekaan tersebut menampilkan baju lengan panjang hitam dan skirt hitam. Bagi menaikkan seri penampilannya yang serba gelap, rekaan fabrik membentuk bunga diletakkan pada bahagian kiri bahunya serta di skirt beliau pada bahagian pinggang.
Setiap perincian rekaan menonjolkan kualiti dan kreativiti jenama ShazNash, sekali gus menjadikannya titik fokus dalam kalangan tetamu.
4. Amelia Henderson
Gaya pelakon, Amelia Henderson lebih ceria dan segar dalam rekaan Mimpikita yang menampilkan blouse krim lengan panjang berkolar tinggi dipadankan dengan skirt bercorak bunga berwarna-warni gabungan ungu, biru, kuning dan jingga.
Kasut tumit tinggi dengan rekaan terbuka menonjolkan kaki yang dihias nail polish rona merah terang menjadikan keseluruhan gayanya tampak sempurna.
5. Fazura
Pelakon dan usahawan, Nur Fazura mempesona dengan set pakaian serba putih dari Hatta Dolmat yang terdiri daripada rekaan baju lengan belon dan seluar bersaiz baggy yang elegan.
Tudung panjang dan beg tangan Hermes Kelly Pochette warna sepadan menambah sentuhan kemewahan dan gaya anggun beliau.
6. Mimi Lana
Pelakon tinggi lampai tampil memukau dengan busana daripada jenama Masyadi Mansoor, iaitu gaun panjang hitam berkilat dengan rekaan moden dan dramatik.
Bahagian atas gaun off-shoulder dan longgar menyerlahkan gaya anggun, manakala bahagian bawahnya meleret anggun ke lantai.
Penampilan beliau disempurnakan dengan cermin mata hitam, menambahkan aura misteri dan bergaya.
KLFW 2025 sekali lagi membuktikan ia bukan sekadar platform memperkenalkan fesyen, tetapi juga pentas bagi selebriti menonjolkan gaya peribadi mereka.
Tahun ini, busana pilihan selebriti bukan sahaja menarik perhatian, malah menunjukkan kepelbagaian, kreativiti dan keanggunan yang tersendiri di pentas fesyen tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram