
NAMA Mimifly kini sering dikaitkan dengan gaya fesyen Nusantara dan penggunaan aksesori yang banyak.
Sama ada gelang lengan, rantai besar atau perincian dramatik, beliau kerap memilih visual yang memberi impak seiring dengan persembahannya.
Namun di sebalik identiti tersebut, penyanyi dan komposer berusia 39 tahun itu mengakui dirinya kadang-kala berasa rimas dengan gaya tersebut.
"Kadang-kadang saya kena cuba dulu sebab apabila di pentas, saya nak fokus pada persembahan. Kalau aksesori terlalu banyak, ia boleh mengganggu," katanya kepada Majoriti.
Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norisham menegaskan bahawa keselesaan menjadi keutamaannya.
Justeru, beliau lebih gemar memilih gaya ringkas yang tidak membataskan pergerakan.
"Secara peribadi, saya lebih suka gaya yang simple, melekat dengan badan dan tidak bergerak sana-sini,” ujarnya yang baru sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Nara.
Lagu itu katanya diinspirasikan daripada legenda Puteri Gunung Ledang dan membawa mesej tentang keberanian, kebijaksanaan serta semangat juang, selari dengan kolaborasinya bersama permainan mudah alih Honor of Kings sempena Hari Kebangsaan tahun ini.
Berkongsi pengalaman di lokasi penggambaran muzik video lagu berkenaan, Mimifly mendedahkan dirinya mengalami kecederaan kecil pada pergelangan tangannya kira-kira dua minggu lalu
"Saya ada parut di lengan selepas cedera ketika penggambaran muzik video Nara. Aksesori yang saya pakai tu tajam dan nipis besinya.
"Luka sampai nampak daging, nasib baik clean cut. sekarang dah okey walaupun masih berbekas," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai inspirasi gaya di sebalik busana yang dipakai untuk muzik video Nara.
"Nara ini saya bayangkan macam warrior princess campur dengan watak Jedi. Saya memang peminat Star Wars, jadi memang suka tengok pakaian-pakaian dalam filem tu.
"Saya gabungkan elemen Jedi dengan kolaborasi bersama Behati dan Abu Shaef Hamza," jelasnya.
Bagi Mimifly, proses mendapatkan keserasian antara artis, pereka fesyen dan penata gaya bukan sesuatu yang berlaku sekelip mata.
Namun, kerjasama lama bersama pasukan itu sejak era Angkat menjadikan hubungan mereka lebih serasi.
"Saya rasa mereka sekarang lebih memahami saya. Mereka ini sangat passionate, berbakat dan sentiasa mahu hasil kerja nampak cantik di mata penonton. Itu yang buat saya seronok bekerja dengan mereka, sebab semuanya rasa mudah,” ujarnya lagi.
Mengimbas insiden penampilannya dalam muzik video lagu raya Serumpun, beliau bekata, dirinya kekal dengan prinsip seni sendiri, namun tetap berusaha mencari keseimbangan antara ekspresi kreatif dan sensitiviti penonton.
"Untuk Serumpun, saya ambil maklum sebab itu lagu raya, jadi saya rasa bertanggungjawab hasilkan muzik video yang lebih sesuai. Tetapi saya masih artis yang nak visual selari dengan tema dan konsep lagu.
"Bukanlah soal berjaga-jaga, tapi lebih kepada cari jalan tengah supaya Mimi juga dapat berkesperimen dengan fesyen, pada masa sama menghargai sokongan orang ramai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram