[VIDEO] Wanita muda Singapura 'tertekan' kos sara hidup, harga rumah cecah hampir RM3 juta


  • Sukses
  • Selasa, 28 Okt 2025

Cvmilea meluahkan rasa kecewa terhadap tekanan hidup di negaranya yang dianggap semakin menyesakkan sehingga membuatkan dirinya terfikir untuk meninggalkan tanah kelahiran.

SEORANG wanita Singapura menarik perhatian ramai apabila meluahkan rasa kecewa terhadap tekanan hidup di negaranya yang dianggap semakin menyesakkan sehingga membuatkan beliau terfikir untuk meninggalkan tanah kelahiran.

Dalam video dikongsikan di TikTok, Cvmilea berkata, beliau semakin hilang semangat apabila melihat ramai warga emas masih bekerja walaupun sudah lanjut usia.

“Saya rasa Singapura bukan untuk saya. Saya baru berkahwin, masih menyewa, belum mampu beli rumah. Kalau nak beli pun, perlu tunggu 3 ke 5 tahun. Sementara itu, kami nak tinggal di mana?” katanya yang berusia 27 tahun.

BACA LAGI: 'Lahirnya seorang PASKAU dalam keluarga saya', Sultan Pahang bangga putera sulung tamat latihan kepakaran elit udara

BACA LAGI: Oki Setiana Dewi anggap Mesir tempat tepat untuk bentuk karakter anak, didik cintakan Al-Quran dan Palestin

Beliau turut menyuarakan rasa kecewa terhadap tekanan ekonomi yang dirasakannya tidak berkesudahan.

Bagi wanita itu, kehidupan di Singapura seolah-olah satu perlumbaan yang tidak pernah tamat iaitu antara gaji tinggi dan harga kehidupan lebih tinggi.

“Saya tengok pakcik dan makcik umur 75, 80 tahun masih kerja. Itu gila. Adakah itu masa depan kita? Adakah kita nak terus hidup macam ni selama-lamanya?” ujarnya.

Menurutnya, walaupun Singapura terkenal dengan tahap keselamatan dan kestabilan ekonomi, namun realiti hidup rakyat biasa jauh daripada indah.

“Ramai glamorkan hidup di Singapura. Tapi saya rasa… saya dah penat. Kami berusaha keras, berjimat, tapi sampai bila?

"Rumah pula boleh cecah antara SG$600,000-SG$800,000 (RM1,944,000-RM2,592,000, kadang sampai SG$1 juta (RM3,241400). Bila boleh hidup tenang?” katanya lagi.

Wanita itu turut mengakui kadang-kadang terlintas dalam hati untuk memulakan hidup baru di negara lain di mana tempat yang memberi ruang untuk bernafas dan menikmati kehidupan tanpa tekanan kewangan melampau.

“Saya tahu tak mudah nak mula semula tanpa simpanan kukuh, tapi saya harap satu hari nanti saya boleh lakukannya. Singapura bukan untuk saya, bukan sekarang, bukan selamanya," katanya.

Luahan jujur itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

“Singapura tempat untuk cari kerja, tapi bukan tempat untuk hidup bahagia," kata TekSavvy.

Sementara itu, Andreas Dillan turut berpendapat benda yang sama.

“Kita bukan hidup, cuma bertahan," katanya.

Namun, tidak semua berpandangan sama. Pengguna lain, Surayak menasihati wanita itu supaya tidak putus harapan.

“Awak baru 27 tahun. Masih banyak masa untuk bina masa depan. Kalau betul rasa Singapura bukan untuk awak, cubalah cari peluang di tempat lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram