‘Kisah dalam kain pun beritahu ibu', isteri makan hati, suami jenis 'anak mak' kongsi semua cerita peribadi


  • Cinta
  • Selasa, 28 Okt 2025

Tekanan dalam kehidupan rumah tangga bertambah apabila ibu mentua terlalu masuk campur. — Gambar Hiasan

KEBAHAGIAAN dalam rumah tangga bukan diukur pada manisnya ucapan cinta, tetapi pada kemampuan suami isteri menjaga maruah, aib dan rahsia bersama.

Apabila kepercayaan dan batas privasi dilanggar, kasih yang dulunya menghangatkan boleh bertukar menjadi racun yang perlahan-lahan meruntuhkan hubungan.

Situasi inilah yang dialami oleh seorang wanita apabila rumah tangganya mula retak dek campur tangan ibu mentua dan sikap suami yang terlalu bergantung kepada ibunya dalam setiap perkara.

BACA LAGI: 'Lahirnya seorang PASKAU dalam keluarga saya', Sultan Pahang bangga putera sulung tamat latihan kepakaran elit udara

 BACA LAGI: Oki Setiana Dewi anggap Mesir tempat tepat untuk bentuk karakter anak, didik cintakan Al-Quran dan Palestin

Seorang isteri makan hati apabila kerap diperli ibu mentuanya. — Gambar Janaan AI

Kisah tersebut dikongsikan oleh seorang peguam, Nurul Atikah menerusi hantaran di media sosial baru-baru ini. 

Beliau menceritakan pengalaman mengendalikan kes seorang isteri yang akhirnya tidak mampu lagi menahan tekanan hidup bersama suami sejenis ‘anak mak’.

“Saya pernah ada klien luah masalah bila berkahwin dengan suami anak mak ni. Semua hal rumah tangga dia cerita pada maknya.

"Pasal isteri penat balik kerja tak larat nak buat hubungan kelamin pun dia beritahu pada mak dia. Isteri tak rajin masak pun mak dia tahu. Nak buat keputusan pun semua kena tanya mak dulu,” tulisnya.

Lebih menyedihkan, Nurul Atikah berkata, apabila ibu mentua sering mencampuri urusan rumah tangga mereka dan memperli menantu atas hal remeh, si suami hanya menyuruh isterinya bersabar tanpa pernah membela atau menetapkan sempadan yang jelas antara ibu dan isteri.

“Kalau mak mertua perli atau mengumpat tentang isteri, suami cuma suruh bersabar. Itu sahaja jawapan dia.

"Lama-lama isteri jadi tawar hati, rasa terpinggir dan akhirnya rumahtangga runtuh,” katanya.

Isteri tertekan hidup bersama suami yang terlalu bergantung pada ibu. — Gambar Janaan AI

Hantaran itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya bersimpati dan turut berkongsi pengalaman masing-masing.

Seorang pengguna, Catheeja mendedahkan kisah saudara maranya yang berdepan isu serupa.

"Saya ada saudara macam ni. Maknya marah bila menantu tak nak duduk serumah. Diburukkan menantu macam-macam, sedangkan menantu tu bijak dan tahu perangai mak mertua. 

"Kalau duduk serumah, semua benda nak dipertikai. Cara jaga anak, cara makan... semua tak kena,” katanya.

Sementara itu, Addrahhayu berpandangan bahawa punca utama datang daripada kelemahan suami sendiri.

“Memang ada lelaki yang tak ada sifat kepimpinan. Tak tahu buat keputusan dalam rumah tangga, apatah lagi nak uruskannya,” tulisnya.

Aisyah Haseena pula meluahkan rasa simpati terhadap golongan isteri yang terpaksa berdepan keadaan sebegitu.

“Suami terlalu menurut cakap ibu... kesian isteri yang baik,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram