Okey saja majlis resepsi 'back-to-back', cuma Amira Othman 'tewas' dek sepatu tinggi 6 inci


  • Gaya
  • Selasa, 28 Okt 2025

Fattah dan Amira tampil manis dalam persalinan rekaan Rizman Ruzaini pada majlis resepsi mereka baru-baru ini. — Instagram@rizmanruzaini

PENYANYI dan pelakon, Amira Othman mengakui tidak penat mengurus dan meraikan beberapa majlis resepsi perkahwinannya yang diadakan secara berturut-turut bersama suami tercinta, Fattah Amin.

Namun menurutnya, cabaran utama dihadapi sepanjang majlis resepsi di sebelah keluarga Fattah yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini adalah memakai kasut tumit tinggi setinggi enam inci.

"Tak rasa penat pun sebenarnya, cuma kaki sahaja sebab pakai heels enam inci," katanya ketika ditemui Majoriti pada majlis resepsi berkenaan baru-baru ini.

BACA LAGI: Baru usia 8 tahun, anak Dr. Sheikh Muszaphar 'obses' algebra, sanggup geledah bilik kakak cari buku

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pengalaman yang amazing!', Cinta Laura kongsi advokasi pada forum ASEAN, sempat nikmati durian di tepi jalan

Tambah finalis rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-10 tersebut, meskipun jadual berkaitan majlis agak padat selepas acara resepsi di Johor Bahru, beliau tetap teruja kerana dapat meraikan hari bahagia bersama insan-insan yang hadir memberi sokongan dan doa.

"Saya rasa rezeki dikelilingi orang yang baik-baik yang datang meraikan kami. Semua orang mendoakan, jadi saya pun rasa gembira sebenarnya," ujarnya.

Sementara itu, Fattah turut menzahirkan rasa syukur apabila setiap majlis yang dirancang berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.

Menurutnya, selepas selesai majlis resepsi di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, pasangan itu turut merancang untuk mengadakan satu lagi majlis khas bagi menghargai peminat yang sentiasa menyokong perjalanan karier dan perkahwinan mereka.

Mengulas gelaran wedding of the year yang diberikan oleh peminat, Fattah menganggap ia sebagai satu penghargaan, namun menegaskan niat utama mereka hanyalah untuk meraikan keluarga dan tetamu.

"Kami gembira apabila orang cakap macam itu, tapi sebenarnya kami cuma nak bagi yang terbaik untuk semua yang datang meraikan," ujarnya.

Dalam masa sama, pasangan tersebut turut mengulas berhubung tindakan segelintir individu yang memberikan komen negatif mengenai mereka.

"Kita tak boleh puaskan hati semua orang. Yang penting kita tak buat jahat dengan orang dan sentiasa doakan yang baik-baik," kata mereka yang mahu hidup tenang dan memberi tumpuan terhadap perkara positif sahaja.

Majlis resepsi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Melawati, Selangor pada Ahad itu menyaksikan pasangan mempelai berkenaan tampil anggun dan segak dalam persalinan rekaan pereka fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan memukau daripada barisan penyanyi popular tanah air seperti Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Aina Abdul serta penyanyi terkenal dari Indonesia, Cakra Khan.

Terdahulu, pasangan sama cantik sama padan itu melangsungkan majlis pernikahan di sebuah resort di Sepang pada 14 September lalu yang dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat.

Selepas majlis akad nikah tersebut, mereka mengadakan resepsi pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram