 
                                                ARTIS serba boleh kelahiran Indonesia, Cinta Laura mencuri perhatian apabila menjadi salah seorang penceramah pada Forum ASEAN Inclusive Growth Summit yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Pada acara berprestij itu, Cinta Laura tampil anggun dan mempesona dengan busana yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.
Beliau mengenakan korset berstruktur menonjolkan keindahan kain batik tulis klasik, diserikan dengan material berkilau pada bahagian sisi tubuh.
Penampilannya dipadankan dengan blazer crop moden dan seluar palazzo hitam yang memberi sentuhan elegan dan berwibawa.
Untuk melengkapkan gaya tersebut, wanita berusia 32 tahun itu menambah bros perak bersaiz besar di bahagian tengah korset dan di sisi kanan blazer.
Beliau turut memakai gelang perak di luar lengan blazer menjadikan keseluruhan penampilannya tampak berkelas, moden, namun masih sarat dengan identiti etnik.
Dalam sesi forum tersebut, selebriti berdarag campuran Jerman-Indonesia tersebut berkongsi mengenai inisiatif yayasannya, Act of Love, yang diperjuangkan menerusi platform media sosial.
Beliau turut membincangkan isu jangka tumpuan (attention span) masyarakat masa kini yang semakin pendek.
“Sekarang orang hanya mampu beri perhatian kurang daripada 3 saat dan saya tidak mahu hasilkan kandungan yang hayatnya cuma sejauh itu,” katanya.
Cinta Laura turut menjelaskan bahawa menerusi Act of Love, setiap kisah yang disampaikan mempunyai tujuan mendalam.
“Daripada kesedaran kepada advokasi, daripada empati kepada tindakan, daripada sekadar viral kepada perubahan struktur yang sebenar," katanya.
Beliau menganggap penceritaan adalah satu bentuk pelaburan dan mahu melabur dalam perubahan yang kekal lebih lama daripada sebarang trend semasa.
Forum ASEAN Inclusive Growth Summit menghimpunkan pemimpin dari pelbagai sektor iaitu swasta, awam, kerajaan dan sosial bagi membincangkan peluang pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
Matlamat utama penganjuran adalah untuk memperkukuh kesejahteraan kewangan dan memupuk pertumbuhan inklusif demi kemakmuran bersama yang mampan.
Namun begitu, kunjungan pelakon sinetron Cinderella (Apakah Cinta Hanyalah Mimpi?) itu ke Malaysia bukan sekadar menghadiri forum.
Di sela-sela jadualnya, beliau turut mengambil peluang menikmati durian di gerai tepi jalan, pengalaman pertama kali buat dirinya.
Dalam rakaman video yang dimuat naik di Instagram, Cinta Laura ceria berbual dengan penjual durian untuk memilih durian yang ingin dibeli.
“Nak yang paling manis!," katanya kepada penjual kedai.
Di gerai tersebut, dijual dua jenis durian popular iaitu Musang King dan Black Thorn.
Wanita murah senyuman itu memilih untuk mencuba durian Black Thorn yang berharga RM38 dan RM48.
“Oh my God, so good! Tadi yang saya makan durian berharga RM38, ini RM48. Saya tak tahu kenapa lebih mahal, tapi nak cuba. Ia sangat manis, ada sedikit pahit, hmmm habis makan!
"Baunya enak, rasanya enak. Saya belum pernah makan durian di tepi jalan. Pengalaman yang amazing!” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
