Dr. Wan Azizah rai isteri pemimpin ASEAN, pertunjukan Makyung, Mek Mulung pamer sisi unik warisan Malaysia


  • Sukses
  • Selasa, 28 Okt 2025

Dr. Wan Azizah (tengah) bersama isteri-isteri pemimpin ASEAN ketika menghadiri Program Pasangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Isnin. — Instagram/@drwanazizah

ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, meraikan isteri kepada Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN menerusi Program Pasangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang diadakan di Seri Negara, Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam hantaran di Instagram, Dr. Wan Azizah menyifatkan program itu sebagai peluang berharga untuk memperkenalkan warisan dan keunikan budaya Malaysia kepada para tetamu.

"Saya berasa amat berbesar hati berpeluang meraikan para isteri kepada Ketua Negara/Kerajaan dalam Program Pasangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang telah berlangsung di Seri Negara, Kuala Lumpur," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak gentar diperhati ketika 'live painting', skil melukis Mia miliki gaya dan ekslusiviti tersendiri

BACA LAGI: [VIDEO] Perkenalan ibarat 'eksperimen', beratur di tandas jadi permulaan cinta Mark Zuckerberg dan Priscilla Chan

Beliau turut berkongsi bahawa program berkenaan menampilkan pameran miniatur masyarakat dan makanan tradisional ASEAN, selain memperkenalkan Warisan Budaya Tidak Ketara Malaysia seperti Mek Mulung, silat, Makyung dan songket.

"Saya turut berpeluang memperkenalkan kekayaan warisan Malaysia serta sejarah pemuliharaannya menerusi pameran miniatur menarik yang menonjolkan masyarakat dan makanan tradisional ASEAN," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Acara turut diserikan dengan Pertunjukan Kebaya Malaysia, memperagakan lima rekaan kebaya tradisional dari pelbagai negeri termasuk Kebaya Nyonya Pulau Pinang, Kebaya Negeri Sembilan, Kebaya Kelantan, Kebaya Selangor dan Kebaya Pahang.

Menambah keistimewaan majlis, artisan Ong Bee Hong mempersembahkan demonstrasi seni sulaman kasut manik secara langsung, memperlihatkan ketelitian dan kehalusan seni warisan masyarakat Peranakan.

Para tetamu juga berpeluang menyertai aktiviti menghasilkan terarium bersama kurator tempatan.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (KPWKW), isteri Menteri Luar Negeri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin dan Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari menampilkan hidangan tradisional Malaysia.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dalam menjayakan program ini.

:Semoga ukhuwah dan perpaduan antara negara-negara ASEAN terus diperkasa dalam usaha membina rantau yang makmur, stabil dan berdaya saing," ujar beliau.

Sementara itu, KPWKM dalam satu hantaran memaklumkan bahawa program tersebut selaras dengan mandat kementerian untuk memperkukuh nilai kekeluargaan, kesejahteraan sosial serta peranan wanita dalam pembangunan masyarakat.

Menurut KPWKM, program yang turut disokong oleh Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Khazanah Nasional Berhad serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu bukan sekadar acara sosial yang mengiringi mesyuarat rasmi para pemimpin, tetapi menjadi platform penting diplomasi tidak formal yang memperkukuh hubungan kemanusiaan antara negara-negara ASEAN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram