'Saya tak gagal, tapi berjuang', ibu cekal jalani pembedahan jantung terbuka sehari lepas bersalin czer


  • Bonda
  • Khamis, 23 Okt 2025

Seorang wanita disahkan mengalami pulmonary embolism sehari selepas bersalin. — Gambar Hiasan

DETIK bahagia menyambut kelahiran cahaya mata pertama bertukar menjadi cemas bagi seorang ibu dikenali sebagai Anne Darlaa.

Ini susulan beliau disahkan mengalami pulmonary embolism (pembekuan darah pada paru-paru) sehari selepas bersalin.

Anne yang sebelum ini sihat sepanjang kehamilan berkata, beliau memilih untuk bersalin secara pembedahan caesarean (C-section) atas nasihat doktor kerana saiz bayinya yang besar.

Namun, tidak lama selepas itu, beliau mengalami sesak nafas teruk sebelum doktor mengesahkan keadaan tersebut dan terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka bagi menyelamatkan nyawanya.

“Saya tidak pernah menyangka keadaan ini akan berlaku. Sehari selepas bersalin, saya disahkan mengalami pulmonary embolism dan perlu melakukan pembedahan jantung terbuka untuk menyelamatkan nyawa saya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

BACA LAGI: Di kala 'trend' pasangan muda mudah lafaz cerai, masih ramai wanita jadikan setia, sabar Tun Hasmah, Dr. Wan Azizah inspirasi

BACA LAGI: China perkenal robot peneman AI bantu pasangan moden urus rumah tangga tanpa tekanan

Kini, ketika bayinya menghampiri usia sebulan, Anne masih belum mampu mendukung anaknya sendiri akibat kesan pembedahan.

“Ada kalanya hati hancur kerana tidak dapat memeluknya seperti yang saya impikan. Tetapi saya sentiasa mengingatkan diri bahawa saya tidak gagal. Saya telah berjuang.

"Tubuh saya melalui sesuatu yang luar biasa dan kini masih dalam proses untuk pulih agar dapat terus berada di sisinya,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, kisah Anne mendapat perhatian ramai warga maya yang tersentuh dengan ketabahannya.

Seorang pengguna, Playlistthief mengingatkan Anne bahawa beliau sama sekali tidak pernah gagal, sebaliknya merupakan seorang wanita yang kuat. 

“Awak langsung tidak gagal! Hakikat bahawa awak melalui pembedahan jantung terbuka selepas bersalin adalah sesuatu yang luar biasa," katanya. 

Seorang lagi pengguna, Intan Nurshahira juga berkongsi pengalaman hampir sama. 

“Masa saya hamil 37 minggu, doktor pun pernah syak saya alami pulmonary embolism. Macam-macam prosedur saya perlu jalani," katanya. 

Sementara itu, Avila Geraldine pula berkongsi kisahnya yang tidak dapat melihat anak sulung selama 19 hari kerana wabak Covid di wad.

“Saya rasa gagal waktu itu. Tapi ada yang pernah beritahu, ibu yang baik bukan diukur pada penyusuan, tetapi pada kasih sayang diberikan," tulisnya. 

Wanita lain, Tammy Tan turut menitipkan kata-kata semangat agar anne terus tabah. 

“Awak seorang ibu yang hebat. Walaupun belum mampu mendukung anak, awak masih boleh memberinya kasih sayang. 

"Fokus untuk pulihkan diri kerana yang penting, awak terus sihat dan dapat membesarkannya," ujarnya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram