Sanggup berhabis RM3,825 sebulan sewa hotel sejak suami meninggal dunia, tak mampu tinggal di rumah penuh kenangan


  • Cinta
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Seorang wanita sanggup berhabis RM3,825 sebulan untuk menyewa hotel sejak suaminya meninggal. — Gambar Hiasan

DEMI mencari ketenangan selepas kehilangan insan tersayang, seorang wanita di Indonesia sanggup berhabis sekitar RM3,825 sebulan (bersamaan 15 juta rupiah) untuk menyewa bilik hotel setiap bulan sejak suaminya meninggal dunia.

Kisah menyayat hati itu dikongsikan oleh seorang terapis hipnosis klinikal, Master Hikari menerusi media sosial yang kini tular.

Menurut Hikari, klien yang dikenali sebagai Betty, 51, kehilangan suaminya beberapa bulan lalu. 

Sejak itu, rumah yang sebelum ini menjadi saksi kebahagiaan mereka berdua bertukar menjadi tempat penuh kenangan terlalu perit untuk dihadapi.

“Aku sudah lupa bagaimana caranya hidup sendiri. Kami merancang masa tua bersama, menabung selama 20 tahun untuk hari persaraan sepatutnya kami nikmati berdua,” kata Betty kepada Hikari.

BACA LAGI: 'Saya tak gagal, tapi berjuang', ibu cekal jalani pembedahan jantung terbuka sehari lepas bersalin czer

BACA LAGI: Di kala 'trend' pasangan muda mudah lafaz cerai, masih ramai wanita jadikan setia, sabar Tun Hasmah, Dr. Wan Azizah inspirasi

Betty mengakui setiap sudut rumahnya membawa memori terlalu menyakitkan bermula daripada pakaian suami yang masih tergantung di almari, sisir kekal terselit rambutnya, sehinggalah snek kegemaran suami tidak sempat ditutup semula di dalam peti sejuk.

“Rumah yang dulu penuh dengan tawa, kini hanya tinggal gema kesunyian. Aku tak sanggup pulang,” luahnya.

Sejak itu, Betty mengambil keputusan untuk menetap di hotel menggunakan wang simpanan persaraan mereka iaitu kira-kira 15 juta rupiah (RMRM3,825) sebulan semata-mata untuk mencari ruang dan kekuatan baharu.

Namun, selepas setahun berlalu, Betty menyedari bahawa beliau tidak boleh terus melarikan diri daripada hakikat kehidupan. 

Dalam satu sesi terapi transpersonal bersama Hikari, Betty dibimbing untuk berdepan dengan dirinya sendiri dan meluahkan segala rasa yang terpendam.

Menurut Hikari, dalam keadaan kesedaran mendalam, Betty seolah-olah dapat 'berbicara' dengan arwah suaminya.

"Dalam sesi itu, Betty melihat dirinya terbaring lemah, dan dari sudut lain dia seolah-olah melihat suaminya datang memberi pesan terakhir. 

"Dia melihat anak-anaknya yang masih memerlukan perhatian, dan karya suaminya yang belum sempat diselesaikan. Dari situ, semangatnya untuk hidup kembali menyala,” jelas Hikari.

Tambahnya lagi, Betty akhirnya sedar bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara dan beliau perlu terus kuat bukan hanya untuk suaminya yang telah pergi, tetapi juga untuk anak-anak serta dirinya sendiri.

Kisah Betty menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman kehilangan insan tercinta di ruangan komen.

Seorang pengguna, T. Wahyuni turut menceritakan bagaimana kehilangan suami telah mengubah seluruh arah hidupnya.

“Saya benar-benar faham perasaan Betty. Saya kehilangan suami pada 2024. Sejak itu, saya juga meninggalkan rumah dan mula mengembara ke pelbagai tempat. 

"Kuburitu benar-benar nyata dan menakutkan. Tiada siapa yang mampu menyembuhkannya, kecuali masa. Hanya waktu yang perlahan-lahan mengajar kita untuk bernafas semula," katanya. 

Pengguna lain, Deltasintyawindriaraya juga berkongsi pengalaman yang hampir sama. 

“Saya juga mengalami perkara yang sama ketika suami saya meninggal. Saya tidak kuat untuk tinggal di rumah utama. 

"Setiap sudut mengingatkan saya padanya. Mujurlah saya memiliki rumah kedua, dan sejak itu saya tinggal di sana bersama anak-anak. Di rumah baharu ini, saya perlahan-lahan belajar untuk berdamai dengan kehilangan," katanya. 

Seorang lagi pengguna, Timothy J. Daun turut menceritakan kisah ibunya yang berdepan kemurungan selepas kematian bapanya.

“Sejak papa meninggal setahun lalu, mama benar-benar berubah. Kami akhirnya memutuskan untuk menyewa rumah lain sementara rumah asal diubah suai, supaya mama tak lagi terlalu terbeban dengan kenangan," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram