SEBUAH bab baharu dalam dunia fesyen bermula di Paris apabila keturunan pengasas rumah fesyen mewah Givenchy, Sean Taffin de Givenchy disatukan dengan wanita Korea, Jung Da-hye dalam majlis perkahwinan mewah yang menjadi tumpuan ramai di Perancis dan Korea.
Memetik laporan Vogue pada 18 Oktober lalu, pasangan itu melangsungkan perkahwinan mereka pada Ogos lalu di sebuah katedral bergaya neo-Gothic bersejarah di Paris, Basilique Sainte-Clotilde.
Majlis perkahwinan Katolik itu mencerminkan pegangan agama serta tradisi keluarga mereka yang sudah lama diamalkan, dengan kehadiran ahli keluarga terkemuka Givenchy.
BACA LAGI: Giliran anak belajar kulinari, ikut jejak ibu, ayah alumni TVET, potensi luas dalam industri
Majlis sambutan berlangsung selama tiga hari, dari 28 hingga 30 Ogos lalu dengan pelbagai acara meriah yang menggabungkan sentuhan elegan Perancis dan kehalusan cita rasa Korea.
Sean yang bekerja sebagai penganalisis kewangan kanan di rumah lelong terkenal Christie’s berkata, mereka memilih upacara Misa kerana kedua-duanya dibesarkan dalam keluarga Katolik.
Katedral itu juga terletak berhampiran kawasan kejiranan keluarganya dan sering menjadi lokasi penting untuk pelbagai acara keluarga.
Kisah cinta mereka bermula pada tahun 2018 di Universiti McGill, Montreal, Kanada.
Ketika itu, mereka bertemu semasa minggu orientasi pelajar baharu. Sean mengimbas kembali bahawa Da-hye menjadi sukarelawan untuk acara tersebut dengan membantu bahagian penyimpanan kot dan tiket.
Dia tidak menegurnya pada pertemuan pertama, tetapi kali kedua mereka bertemu, rakan-rakan memperkenalkan mereka dan dari situ hubungan mula terjalin.
Pasangan tersebut melangsungkan pertunangan di New York pada Februari 2024.
Da-hye yang baru menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Columbia kini berkhidmat di jenama barang kemas Sean yang diuruskan oleh bapa saudara Sean sendiri.
Cincin pertunangan dan perkahwinan mereka juga direka oleh jenama tersebut.
Dalam temu bual bersama Vogue, Da-hye berkata, konsep impiannya untuk majlis perkahwinan ialah klasik dengan sentuhan keanggunan Paris.
Beliau menghasilkan lebih 100 papan inspirasi (moodboard) untuk menggambarkan idea perkahwinannya yang kemudian direalisasikan oleh perancang majlisnya.
Gaun sutera tanpa bahu yang digayakan bersama jubah berlipat besar itu direka oleh pereka fesyen Korea-Amerika, Andrew Kwon.
Rumah fesyen Givenchy yang diasaskan pada tahun 1952 oleh Hubert de Givenchy, mencapai kemasyhuran antarabangsa melalui kerjasama dengan pelakon legenda Audrey Hepburn, sebelum menjadi sebahagian daripada kumpulan LVMH pada tahun 1988.
Legasi keluarga berkenaan dalam dunia haute couture dan budaya Perancis terus subur hingga kini dan kini diteruskan dengan sentuhan baharu melalui kehadiran seorang wanita Korea dalam perjalanan sejarahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
