NAMA MonaLesa Brackett kini menjadi tumpuan dunia selepas muncul sebagai wanita berhijab pertama berjaya mara ke peringkat akhir Miss USA 2025.
Menurut laporan Business Insider, wanita berusia 36 tahun itu baru-baru ini dinobatkan sebagai Miss New Hampshire 2025, sekali gus melayakkannya mewakili negeri tersebut ke pentas akhir Miss USA 2025 yang dijadual berlangsung pada Jumaat.
Brackett menegaskan bahawa beliau akan terus berpakaian sopan sepanjang pertandingan, termasuk segmen pakaian renang.
Pendirian beliau itu menerima pujian ramai kerana memecahkan norma dalam pertandingan ratu cantik di Amerika Syarikat.
Sebelum menjuarai Miss New Hampshire, Brackett pernah meraih tempat Naib Juara Kedua (Runner-Up II) bagi Miss New York 2025.
“Ketika saya gagal mendapatkan gelaran di New York USA, saya bersyukur atas pengalaman itu dan bangga kerana dapat mencipta sejarah. Selepas itu, saya mula merancang semula strategi untuk tahun berikutnya,” katanya.
Tidak lama kemudian, pihak Miss USA mengumumkan panggilan terbuka untuk beberapa negeri, termasuk New Hampshire.
Wanita tersebut mencuba nasib dan akhirnya berjaya menewaskan peserta lain untuk dinobatkan sebagai pemenang.
Kejayaan itu membawa beliau ke peringkat nasional yang menjadikannya finalis berhijab pertama dalam sejarah Miss USA.
“Saya percaya Tuhan menyelamatkan saya untuk sesuatu yang lebih besar. DIA membuka pintu baru menuju Miss USA.
"Saya berasa amat terhormat dapat menunjukkan kepada wanita di luar sana bahawa masa mereka belum berakhir,” ujarnya.
Di luar dunia ratu cantik, Brackett merupakan seorang aktivis sosial dan usahawan dalam bidang hartanah.
Beliau menubuhkan organisasi The Real Estate Fairy untuk membantu golongan gelandangan dan penerima baucar perumahan mendapatkan kediaman tetap.
Selain itu, Brackett juga aktif membaik pulih taman-taman awam dan mengajar literasi kewangan kepada anak muda.
Beliau turut dikenali sebagai pengembara tegar dan sudah menjelajah ke lebih 20 buah negara.
Kejayaannya bukan sahaja mencipta sejarah peribadi, tetapi juga menjadi simbol keberanian, inklusiviti dan kepelbagaian dalam dunia ratu cantik moden.
Dalam satu hantaran di Instagram, Brackett berkongsi kisah peribadinya iaitu tentang ibu yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasinya sejak dahulu.
“Tujuh tahun lalu, saya berada di sisi ibu, The First MonaLesa, saya memegang tangannya ketika dia menghembuskan nafas terakhir.
"Nafas itu seolah-olah masuk ke dalam diri saya, memberi tahu bahawa dia kini hidup dalam diri saya,” tulis Brackett.
Menariknya, pada hari ulang tahun pemergian ibunya, Brackett menghadiri temu duga Miss USA 2025, menjadi satu kebetulan yang dianggapnya penuh simbolik.
“Tuhan mengambil ibu saya, tetapi DIA mengembalikan impian kami bina bersama sejak 19 tahun lalu. Saya bersyukur kerana dapat mencipta sejarah dan bertanding untuk Miss USA pada hari ulang tahun ibu saya,” tulisnya lagi.
Brackett turut berkongsi cerita daripada ibu saudaranya, tentang pesanan terakhir ibunya yang sempat meluahkan rasa sedih kerana mungkin tidak sempat menyiapkan rambut Brackett pada hari perkahwinannya.
“Sebagai peserta ratu cantik, saya sudah banyak kali memakai gaun indah dengan ibu yang menata rambut saya.
"Kini, saya benar-benar hidup dalam impian kami. Walaupun ibu tiada lagi untuk menyisir rambut saya, ALLAH Maha Penyayang. Kini saya berhijab, dan tiada siapa lagi akan mendapat penghormatan itu,” katanya.
Beliau menambah, berkat tunjuk ajar ibunya selama ini, dia kini tahu menjaga rambutnya sendiri dengan baik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
