IBU kota Kuala Lumpur menjadi tumpuan dunia apabila peguam hak asasi manusia terkemuka global, Amal Clooney, disahkan hadir sebagai penceramah utama untuk 2025 Asean Inclusive Growth Summit yang berlangsung pada 24 Oktober lalu.
Kehadiran isteri kepada pelakon Hollywood, George Clooney itu, menjadi perhatian ramai bukan sahaja kerana status selebritinya, tetapi lebih kepada rekod cemerlangnya dalam mempertahankan mangsa-mangsa pencabulan hak asasi peringkat antarabangsa.
Menurut agenda persidangan bertemakan Driving impact through bold leadership, Clooney dijadualkan menyertai sesi perbincangan petang bertajuk, In conversation with Amal Clooney.
BACA LAGI: Signifikasi di sebalik mengapa karpet Parsi kekal jadi pilihan hiasan kediaman zaman-berzaman
Beliau akan ditemu bual oleh Pengasas dan Presiden Mastercard Center for Inclusive Growth, Shamina Singh, bagi membincangkan peranan undang-undang dalam mempertahankan kebebasan dan memajukan hak wanita, serta kaitannya dengan pertumbuhan inklusif serantau.
Wanita berusia 47 tahun yang kini berkhidmat sebagai Peguam Cara dan Profesor Amalan Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Oxford itu dikenali sebagai salah seorang peguam hak asasi manusia terkemuka di dunia.
Menduduki kedudukan teratas dalam direktori undang-undang berprestij seperti Legal 500 dan Chambers and Partners, beliau digambarkan sebagai 'minda undang-undang yang cemerlang' dan berada dalam liga tersendiri di 'Bar'.
Kejayaan terbesar lawan kekejaman global
1. Membela mangsa ISIS: Amal Clooney terkenal kerana mewakili gadis-gadis Yazidi yang diculik dan dirogol oleh kumpulan pengganas ISIS, usaha yang membawa kepada satu-satunya sabitan jenayah genosid terhadap anggota ISIS di seluruh dunia.
2. Keadilan untuk Darfur: Beliau berjaya mewakili mangsa keganasan seksual dalam satu-satunya perbicaraan yang menghasilkan sabitan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan ke atas orang awam di Darfur.
3. Membebaskan wartawan: Melalui badan amal diasaskan bersama suami, Clooney Foundation for Justice (CFJ), beliau telah membantu membebaskan lebih 100 wartawan dan aktivis yang dipenjarakan atas kerja mereka. CFJ kini merupakan penyedia bantuan guaman terbesar untuk wanita dan wartawan di dunia.
4. Advokasi Global: Dua daripada anak guamnya pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan. Selain itu, beliau kini bersama-sama Michelle Obama dan Melinda French Gates mengetuai kempen advokasi untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak.
Pada 2024, ibu kepada dua anak tersebut turut merangkul Anugerah Legal 500 bagi Peguam Antarabangsa Terbaik Tahun Ini, mengukuhkan lagi pengiktirafan profesionalnya.
Menyedari cabaran masa hadapan, Clooney turut terlibat dalam bidang teknologi dan keadilan.
Tahun ini, beliau menjadi pengasas bersama Oxford Institute of Technology and Justice, sebuah inisiatif global yang berdedikasi untuk memanfaatkan kuasa Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan akses kepada keadilan.
Kehadiran Clooney di Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada persidangan yang menghimpunkan 65 penceramah dan 32 sesi itu dijangka memberikan perspektif eksklusif kepada pemimpin serantau dan perniagaan tentang bagaimana memastikan pertumbuhan ekonomi Asean tidak mengorbankan keadilan dan hak asasi manusia, terutamanya bagi golongan yang paling terdedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
