'Assignment' pertama lepas jadi PM Jepun, Sanae Takaichi pemimpin wanita tunggal di Sidang Kemuncak ASEAN 2025


  • Maya
  • Ahad, 26 Okt 2025

Takaichi, menjadi tumpuan apabila beliau berdiri teguh sebagai satu-satunya pemimpin wanita bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak berkaitan di Kuala Lumpur pada 26 Oktober menjadi saksi kepada penampilan sulung diplomatik yang mencipta sejarah, apabila Perdana Menteri Jepun baru dilantik, Sanae Takaichi, hadir sebagai satu-satunya pemimpin wanita dari negara Rakan Dialog.

Takaichi, yang baru sahaja menggalas jawatan nombor satu di Jepun, bukan sekadar kehadiran biasa, malah kelibat beliau berdiri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua-ketua kerajaan negara ASEAN lain di atas pentas utama menjadi fokus lensa serta perhatian delegasi antarabangsa.

Pelantikan Takaichi, 64, sebagai Perdana Menteri Jepun yang ke-104 pada 20 Oktober lalu sudah pun dianggap detik bersejarah.

BACA LAGI: Dari The Hague ke KLCC, peguam Amal Clooney bawa suara mangsa perang ke sidang kemuncak Asean

BACA LAGI: Retrospektif fesyen Ratu Sirikit, martabat sutera Thai di mata dunia

Beliau merupakan wanita pertama yang memimpin negara Matahari Terbit itu, sekali gus memecah dominasi politik lelaki sekian lama berakar umbi.

Kehadiran beliau di Kuala Lumpur untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu merupakan tugasan diplomatik utama beliau di pentas antarabangsa sejak mengambil alih tampuk kepimpinan.

Tatkala pemimpin negara-negara ASEAN yang lain rata-ratanya diwakili oleh pemimpin lelaki, Takaichi berdiri teguh sebagai pemimpin wanita tunggal di Sidang Kemuncak Bersekutu (ASEAN Plus) yang turut disertai rakan-rakan dialog utama lain.

Momen beliau berada sebaris dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN 2025, menjadi simbol kepelbagaian kepimpinan di rantau Asia.

Dalam perbincangan, Takaichi dilaporkan membawa fokus utama kepada isu keselamatan ekonomi dan usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, terutamanya dalam konteks ancaman serantau dan global.

Jepun juga dilihat komited untuk memperkukuh pakatan strategik dengan Amerika Syarikat (AS), yang turut diwakili oleh Presidennya, Donald Trump, yang dijadual hadir pada sidang kemuncak berkaitan.

Sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN bagi 2025, Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berprestij itu, yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula dari 26 hingga 28 Oktober 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'.

Sidang kemuncak kali ini bukan sahaja bertujuan untuk mempercepatkan integrasi serantau serta memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara anggota, malah turut menjadi platform penting bagi negara serantau dan Rakan Dialog untuk membincangkan isu-isu geopolitik kritikal, pembangunan lestari, digitalisasi dan keselamatan makanan.

Persidangan itu menandakan kemuncak Kepengerusian Malaysia sebelum jawatan tersebut diserahkan kepada Filipina untuk tahun seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram