PERSEMBAHAN pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad diserikan dengan alunan sape oleh pemain sape profesional dan pencipta lagu, Alena Murang yang tampil memukau dalam busana kontemporari warisan Borneo.
Persembahan berdurasi kira-kira tujuh minit itu menampilkan gabungan Alena bersama kumpulan tarian tempatan bertemakan perpaduan dan transformasi, simbolik kepada semangat kekeluargaan dalam komuniti ASEAN.
Alena muncul di pentas selama kira-kira empat minit, mempersembahkan petikan sape yang memikat disertai visual dan gerak tari yang mencerminkan keharmonian budaya rantau ini.
BACA LAGI: Retrospektif fesyen Ratu Sirikit, martabat sutera Thai di mata dunia
BACA LAGI: Dari The Hague ke KLCC, peguam Amal Clooney bawa suara mangsa perang ke sidang kemuncak Asean

Alena Murang. — Instagram/@alenamurang
Dikenali sebagai antara pemain sape wanita terawal di Malaysia, Alena berasal dari Kuching, Sarawak dan berketurunan Kelabit serta Itali-Inggeris.
Beliau aktif memperkenalkan seni muzik tradisional Borneo ke peringkat antarabangsa melalui gabungan elemen moden dan etnik dalam persembahan serta karya seninya.
Selain menjadi pemain sape dan penyanyi, Alena juga dikenali sebagai pelukis dan duta budaya yang giat mempromosikan warisan masyarakat pribumi Sarawak di pentas global.
Karya dan persembahannya pernah dibawa ke pelbagai festival seni antarabangsa termasuk di Eropah dan Asia Tenggara, menjadikan beliau antara ikon seni tempatan yang berjaya mengangkat identiti Malaysia ke mata dunia.
Persembahan khas di Sidang Kemuncak ASEAN-47 itu bukan sahaja mempamerkan keunikan muzik tradisional dari Sarawak, tetapi turut mengangkat identiti Malaysia sebagai negara yang kaya dengan warisan seni pelbagai etnik, sekali gus memperkukuh mesej perpaduan dan kebersamaan yang menjadi teras ASEAN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
