Arabyrd selesa ber'sneakers' bila berbadan dua, gemar suntik elemen Borneo dalam bergaya


  • Gaya
  • Rabu, 08 Okt 2025

DALAM dunia fesyen, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mengekspresikan diri.

Ada yang memilih gaya tersusun dan klasik, manakala ada juga yang lebih spontan dan bebas dalam menentukan penampilan harian.

Yang paling penting ialah rasa yakin dan keselesaan ketika mengenakan pakaian tanpa mengira trend atau penilaian orang lain.

BACA LAGI: Wajah tampak muda, pelakon Hong Kong ditahan kastam Thailand, tak percaya usia 59 tahun!

BACA LAGI:'Tak bagi kerja, kena makan makanan sihat', anak autisme pempengaruh 'berleter' lepas tahu ibu hamil, 10 tahun tunggu nak adik

Dilahirkan dalam keluarga seni, Arabyrd membesar dikelilingi inspirasi daripada ibunya, Magie Abang Saufi (kiri) dan ibu saudaranya, Datuk Tom Abang Saufi. — Instagram/@iamarabyrd

Salah satu contoh personaliti yang mengekalkan prinsip tersebut ialah anak seni kelahiran Sarawak, Arabyrd atau nama sebenarnya Arafah Edruce.

Dikenali dengan gaya spontan dan suka bermain dengan warna bold, beliau sebenarnya bukanlah individu yang terlalu merancang soal fesyen.

Baginya, berpakaian adalah tentang keselesaan dan kejujuran diri.

Walaupun kini sedang hamil, prinsip itu kekal kerana selagi pakaian selesa dan mudah digayakan, sepasang sneakers tetap menjadi pilihan utama penyanyi rap dan DJ berusia 40 tahun itu.

"Gaya saya impulsif. Saya tidak merancang apa yang hendak dipakai. Apa yang ada di depan mata, saya ambil sahaja. Saya percaya kita yang membawa pakaian, bukan pakaian yang membawa kita," katanya kepada Majoriti.

Pengaruh keluarga dan identiti sendiri

Bergelar anak dan anak saudara kepada dua figura terkait dalam industri fesyen, iaitu Magie Abang Saufi dan Datuk Indera Tom Abang Saufi, Arabyrd mengakui pengaruh keluarga banyak membentuk pemikiran dan pengetahuan fesyennya, bukan sekadar gaya.

"Apa yang mereka kongsi ialah pengalaman dan ilmu dalam dunia fesyen. Itu yang membentuk cara saya melihat dunia dan mengekspresikan diri," ujarnya.

Selepas lebih dua dekad dalam bidang muzik dan fesyen, Arabyrd kini selesa dengan identiti sendiri tanpa terbeban dengan nama besar keluarganya.

"Saya bersyukur jarang orang kaitkan saya dengan mereka. Saya sudah ada identiti sendiri, jadi tidak rasa tekanan," katanya.

Arabyrd menyifatkan gayanya sebagai 'impulsive' kerana kerana setiap pilihan dibuat secara spontan mengikut keadaan hari itu. — Instagram/@iamarabyrd

Sneakers sebagai pilihan utama

Berbicara mengenai jenama yang dekat di hati, Arabyrd memilih Nike sebagai lambang gaya hidupnya.

"Nike bukan sekadar jenama fesyen tetapi gaya hidup. Dari dulu sampai sekarang, saya tidak pernah sehari pun tanpa sneakers. Ia simbol keselesaan dan keyakinan," jelas beliau.

Biarpun sedang hamil, beliau tetap mengutamakan keselesaan tanpa mengabaikan gaya.

"Sebagai ibu, perubahan badan itu normal. Tapi saya kekal pada gaya ringkas dan selesa. Sneakers tetap relevan walau hamil kerana ia beri sokongan dan buat saya yakin," ujarnya.

Bercerita lanjut, salam menjaga kesihatan diri, Arabyrd masih aktif bersenam dan berlari ringan.

"Saya masih jogging dan pergi ke gim. Tapi dalam masa sama, saya pentingkan kesihatan mental. Kadang kita perlu berhenti sekejap, lihat sekeliling dan bersyukur dengan apa yang ada," katanya menambah media sosial meluaskan jurang untuk membandingkan kehidupan sendiri dan orang lain.

Arabyrd mengakui tidak mempunyai ikon wanita dalam dunia hip-hop dan fesyen, sebaliknya menjadikan Kanye West (kiri) dan A$AP Rocky sebagai sumber inspirasi. — Agensi

Inspirasi dan pandangan fesyen

Berkongsi pula mengenai inspirasi beliau dalam dunia hip-hop dan fesyen, Arabyrd menjadikan bintang popular dari Amerika Syarikat, Kanye West dan A$AP Rocky sebagai inspirasi.

"Kalau ideologi semestinya Kanye West, sementara dari segi gaya adalah A$AP Rocky. Kadang orang fikir mereka pelik, tapi itulah kunci keyakinan diri.

"Sebagai individu kreatif, kita kena berani jadi sedikit ‘gila’" katanya sambil ketawa.

Mengimbas kembali perjalan kariernya, beliau pernah menghadiri Paris Fashion Week antara tahun 2014 hingga 2018.

"Apabila sampai sana, baru saya sedar dunia fesyen ini sebenarnya kecil. Semua orang yang kita anggap hebat di media sosial pun manusia biasa bila berdepan," kongsinya.

Gaya Borneo dan cerminan diri

Selain dunia seni, Arabyrd kini mengacarakan program Rhythms of the Land yang menonjolkan budaya dan gaya hidup masyarakat Borneo.

Pengalaman itu membuka matanya terhadap kepelbagaian etnik dan keaslian yang masih kukuh di negeri kelahirannya.

Menyentuh soal gayanya pula, beliau sering menyelitkan elemen Borneo dalam gaya moden.

“Sebenarnya tidaklah seketat yang orang sangka. Ini semua datang daripada pengetahuan.

"Melalui dokumentari The Cloth Story, saya belajar tentang tekstil tradisional dan apa yang boleh serta tidak boleh digayakan," jelasnya ketika menjawab berhubung cara beliau bergaya tanpa menyentuh sensitiviti kaum.

Lebih menarik menurutnya, masyarakat Sarawak bangga apabila warisan mereka diangkat dalam bentuk moden.

"Kami adalah heritage proud. Tapi dalam masa sama, kita perlu tahu batasnya. Contohnya, motif tertentu Pua Kumbu tak boleh digunakan sembarangan.

"Yang penting ialah ilmu dan rasa hormat supaya kita boleh menghargai tanpa menyinggung sesiapa," katanya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram