KISAH kesetiaan seorang suami, Ah Yauddin Ahmad, 63, kepada isteri, Roslina Yusof, 57, yang tular sebelum ini menjadi lebih pilu selepas Allahyarhamah Roslina disahkan meninggal dunia pada Jumaat.
Pemergian Roslina menderita strok bukan sahaja dititipkan dengan ucapan takziah, malah menimbulkan gelombang kekaguman dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap Ah Yauddin, yang kini digelar dengan penuh kasih sayang sebagai 'ayah'.
Ketabahan Ah Yauddin, peniaga air balang yang gigih menggendong isteri dari tingkat empat untuk berniaga, telah membuktikan wujudnya cinta sejati sehingga akhir hayat, sekali gus meletakkan beliau sebagai ikon kesetiaan.
BACA LAGI: Signifikasi di sebalik mengapa karpet Parsi kekal jadi pilihan hiasan kediaman zaman-berzaman
Berita duka itu dikongsikan oleh penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice, yang sebelum itu pernah membantu pasangan tersebut.
"Dengan hati yang sangat sedih, saya dimaklumkan bahawa Puan Roslina baru sahaja meninggal dunia. Salam takziah kepada keluarga, Al-Fatihah," tulis Caprice menerusi hantaran di laman Instagramnya.
Reaksi orang ramai di media sosial terhadap pemergian Allahyarhamah Roslina dan pengorbanan Ah Yauddin amat menyentuh hati.
Ruang komen dibanjiri doa dan pujian, yang mana ramai pengguna media sosial secara sukarela menggelarkan Ah Yauddin 'ayah' sebagai tanda penghormatan tertinggi terhadap kehebatannya sebagai suami.
"Izinkan saya panggil pak cik dengan gelaran ayah ya. Sihat-sihat selalu ya ayah. Ayah seorang suami dan ayah yang hebat. Al-Fatihah, semoga isteri tercinta ayah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Ya Allah air muka ayah, sebak saya ini. Rahmati ayah dengan anak tunggalnya, lindungilah mereka, permudahkan segala urusan mereka Ya ALLAH," kata @Kakmajelitajelawat.
"Aku hormat pak cik ini. Dia seorang yang baik dan penyayang, setia pada arwah isteri sampai ke akhir hayat. Ini cinta sejati sampai ke syurga. Susah nak cari lelaki macam pak cik ini. Apa-apa pun, salam takziah pak cik. Al-Fatihah buat bidadari syurga, moga ditempatkan kalangan orang-orang beriman. Aamin," ujar @Queen Amy.
Malah, Ah Yauddin, yang sempat memberikan ciuman dan mengucapkan kata-kata sayang sebelum isterinya menghembuskan nafas terakhir, disifatkan telah membuktikan bahawa janji cinta adalah sehingga ke akhir hayat.
"Pak cik ini telah membuktikan cinta sampai akhir hayat bersama arwah isterinya itu wujud. Al-Fatihah," komen @Izzat.
Kisah pengorbanan itu menjadi lebih mendalam apabila diketahui Ah Yauddin sendiri sedang bergelut dengan penyakit buah pinggang tahap empat.
Walau diuji dengan kesihatan diri, beliau tetap tabah menggendong isteri yang lumpuh dari kediaman tingkat empat demi mencari rezeki.
Seorang pengguna media sosial berkongsi kisah yang mirip, menambah kedalaman emosi kepada naratif cinta abadi itu.
"Kisah pak cik ini mengingatkan saya pada arwah pak long saya. Sejak isterinya meninggal arwah pak long saya tak pernah berkahwin lagi. Bila ditanya dia cakap bidadari syurga dia sedang menunggu dia. Cinta sejati memang wujud, saat bertemunya dua insan yang tepat dan hebat," luah @Heidi Kim.
Terdahulu, Caprice telah menghulurkan bantuan dengan menyewakan sebuah rumah baharu yang lebih selesa untuk didiami keluarga itu.
Selain itu, anak tunggal pasangan terbabit, Siti Nur Aliah, yang terpaksa menangguhkan pengajian demi menjaga ibu dan membantu ayah berniaga, turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Siti Nur Aliah ditawarkan peluang kedua menyambung pengajian dalam bidang Konfeksioneri dan Bakeri di GiatMARA Klang.
Semoga Allahyarhamah Roslina ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan Ah Yauddin serta anak tunggalnya diberikan kekuatan dan kesabaran untuk meneruskan kehidupan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
