SATU siasatan terperinci telah diarahkan terhadap kematian seorang wanita muda berusia 26 tahun di Dehradun, India.
Kematian itu dikatakan berpunca daripada jangkitan serius akibat pembalut yang didakwa tertinggal di dalam abdomen selepas menjalani pembedahan bersalin.
Tragedi menimpa mangsa, Jyoti Pal, mencetuskan kemarahan awam dan menimbulkan persoalan serius tentang kecuaian perubatan di hospital swasta berkenaan.
BACA LAGI: 'Kejayaan sebenar bukan lagi di podium', Chong Wei rai ulang tahun kelahiran bersama insan tersayang
Dehradun merupakan ibu kota sementara bagi negeri Uttarakhand yang terletak di utara negara itu berhampiran banjaran Himalaya.
Menurut pegawai tempatan, satu jawatankuasa khas seramai empat anggota yang diketuai oleh Ketua Pegawai Perubatan (CMO) Dehradun, Manoj Sharma, telah ditubuhkan untuk menyiasat kematian Jyoti.
Jawatankuasa itu diwujudkan susulan aduan rasmi yang difailkan oleh suami mangsa, Prajjwal Pal.
Berdasarkan aduan diterima, Jyoti melahirkan anak lelaki melalui kaedah pembedahan Caesarean di Pusat Penjagaan Mata dan Ibu (Eye and Mother Care Centre) pada Januari lalu.
Prajjwal mendakwa, kecuaian berlaku apabila pasukan perubatan hospital tersebut didakwa meninggalkan pembalut di dalam perut Jyoti sebelum menjahit luka pembedahan.
Beberapa hari selepas pulang, Jyoti mula mengalami sakit perut yang berpanjangan.
Beliau kemudian dibawa semula ke hospital sama, namun doktor di sana gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai punca kesakitan dialaminya.
Keadaan Jyoti bagaimanapun bertambah buruk, memaksa suaminya membawanya ke hospital lain untuk pemeriksaan lanjut.
Di situlah pembalut yang menjadi punca segala masalah ditemui di dalam abdomen.
Pembalut yang tertinggal menyebabkan jangkitan perut teruk dan membawa maut kepada mangsa.
Kematian wanita muda itu bukan sahaja meninggalkan seorang bayi yang baru dilahirkan, malah turut menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud unsur kecuaian jenayah dalam insiden perubatan.
Jawatankuasa siasatan dijangka mengemukakan laporan selepas semua siasatan kes tersebut selesai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
