Di kala 'trend' pasangan muda mudah lafaz cerai, masih ramai wanita jadikan setia, sabar Tun Hasmah, Dr. Wan Azizah inspirasi


  • Cinta
  • Khamis, 23 Okt 2025

Kesetiaan dua pasangan ini menjadi lambang cinta yang utuh.

CINTA bukan sekadar indah pada awal perkenalan. Ia diuji dengan masa, kesetiaan dan kepercayaan. 

Namun, di sebalik situasi pasangan muda yang mudah melafazkan perpisahan, kisah rumah tangga tokoh seperti Tun Dr. Hasmah Mohd Ali dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat menjadi contoh cinta kekal bertahan meskipun dilanda pelbagai pancaroba kehidupan.

Persoalan tentang keteguhan dua wanita hebat itu sedang  diperkatakan selepas seorang pengguna Threads, Nabilah Azmi memuat naik hantaran mempersoalkan mengapa pasangan masa kini mudah berputus asa dalam perkahwinan.

"Disebabkan banyak sangat kes cerai. Saya nak tanya, macam mana nak ada perkahwinan seperti Tun M (bekas Perdana Menteri, Tun  Dr. Mahathir Mohamad) atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ? 

"Tolak tepi politik. Macam mana seorang isteri boleh bertahan walaupun suami pernah berdepan itu dan ini. Apa rahsia mereka?” tulisnya.

BACA LAGI: China perkenal robot peneman AI bantu pasangan moden urus rumah tangga tanpa tekanan

BACA LAGI: Jangan anggap migrain biasa, ‘thunderclap headache’ sakitnya seperti dipanah petir, risiko jangkitan otak

Ketabahan dua wanita inspirasi ini menjadi teladan buat perkahwinan masa kini.

Hantaran tersebut mencetuskan perbincangan hangat apabila ramai pengguna berkongsi pandangan erti cinta dan kesetiaan sebenar dalam rumah tangga.

Bagi Tasneem Nasharudin, generasi dahulu lebih memahami erti menghormati suami dan tahu menyeimbangkan peranan masing-masing.

“Generasi lama sentiasa letakkan suami tempat pertama. Isteri mereka bukan jenis lantang, tahu bila perlu bersuara dan bila patut diam. Lihat saja cara Tun Hasmah dan Dr Wan Azizah membawa diri dengan bersifat lembut, tapi berprinsip,” katanya.

Pandangan itu disokong oleh Nurraihannkamal yang percaya bahawa ilmu dan kepimpinan seorang lelaki menjadi tunjang kestabilan hubungan.

“Kedua-dua suami mereka berpendidikan tinggi dan tahu memimpin. Wanita yang emosional perlukan lelaki yang rasional,” jelasnya.

Sementara itu, Aienzahalan berpandangan bahawa kunci kebahagiaan rumah tangga terletak pada sabar dan rasa syukur.

“Selagi suami bukan kaki pukul, kaki perempuan atau penagih, bersabarlah. Tiada perkahwinan yang sempurna. Kita pun banyak khilaf dengan ALLAH, tapi ALLAH masih sabar dengan kita. Kalau nak suami berubah, kita dulu ubah diri,” ujarnya.

Raisya Daisy pula mengaitkan kestabilan rumah tangga dahulu dengan ketiadaan media sosial yang sering menggugat kepercayaan pasangan.

“Dulu tak ada media sosial, jadi orang lebih menghargai pasangan. Hidup pun susah, jadi mereka belajar susah senang bersama. Sekarang semuanya nak cepat, termasuk bab menyerah,” katanya.

Bagi Zihan, kekuatan sesebuah hubungan datang daripada pegangan agama dan spiritual yang kukuh.

“Bila isteri kuat hubungan dengan Tuhan, dia tak mudah rapuh bila diuji. Tengok Dr Wan Azizah seorang yang tabah, mampu besarkan anak-anak dengan baik walaupun suami dipenjarakan,” tulisnya.

Pandangan serupa turut disuarakan oleh Dyra dan Nurhidayah Sidi yang menekankan kepentingan komunikasi, kepercayaan dan toleransi.

“Letak kebergantungan pada ALLAH, bukan pasangan. Sabar, percaya dan berbincang itu kunci,” kata Dyra.

Nurhidayah turut memetik kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah podcast yang menekankan pentingnya menjaga hal rumah tangga daripada campur tangan luar.

“Konsep rumah tangga ialah banyakkan sabar dan toleransi. Terima pasangan seadanya. Masalah rumah tangga biarlah diselesaikan dalam rumah, bukan dikongsi dengan orang luar,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram