'Selagi boleh tolak ansur, pilihlah kasih sayang', setiap pertengkaran ruang untuk Raja Ilya, suami saling memahami


  • Cinta
  • Khamis, 23 Okt 2025

Raja Ilya dan suaminya juga tidak terkecuali berdepan cabaran sepanjang tujuh tahun mendirikan rumah tangga, namun memilih untuk saling memahami dan memperbaiki setiap kekurangan. — Instagram/@rajailya

KETIKA ramai rakan industri berdepan kemelut rumah tangga, pelakon dan usahawan Raja Ilya memilih untuk berkongsi pandangan jujur tentang realiti sebuah perkahwinan.

Baginya, perkahwinan bukan sekadar kisah romantik, tetapi perjalanan dua insan diuji untuk saling memahami dan mengekalkan kasih walau ketika cinta tidak lagi terasa sempurna.

Menerusi hantaran di Instagramnya pada Rabu, Ilya mengakui pengalaman membesar dalam keluarga 'berpecah' banyak mengajarnya bahawa mengekalkan rumah tangga memerlukan lebih daripada sekadar cinta.

BACA LAGI: Bukan Uqasha-Kamal saja, rupanya ramai alami pengalaman 'error' sijil nikah, lokasi, ejaan nama suami beza

BACA LAGI: Alana Hadid ukir identiti tersendiri dalam dunia fesyen, aktivisme, tak 'berpaut' pada populariti Gigi dan Bella

Ia menuntut tolak ansur, kesabaran dan keberanian untuk menahan ego demi kebaikan bersama.

Namun, kata Ilya, tidak semua hubungan harus dipertahankan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penderaan.

"Kadang-kadang, pengakhiran juga satu jawapan, terutama bagi mereka yang mengalami penderaan fizikal atau emosi.

"Tapi jika kita memilih untuk terus berjuang demi perkahwinan, realitinya, selepas kelahiran anak pertama, fasa itu sangat mencabar," tulisnya.

Membesar dalam keluarga berpecah katanya, anak-anak memerlukan kasih sayang kedua-dua ibu bapa di bawah satu bumbung selama mana hubungan itu masih boleh diselamatkan.

"Anak-anak perlukan ibu dan ayah bersama. Emosi, mental dan masa depan mereka terbentuk daripada apa yang mereka lihat di rumah.

"Jadi, selagi boleh bertolak ansur dan menahan ego, pilih kasih sayang daripada ingin menang, lakukan demi mereka," ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Dalam perkongsian sama, pelakon filem Felina (2019) itu turut berkongsi pengalaman tujuh tahun mendirikan rumah tangga di mana setiap pertengkaran menjadi ruang untuk saling memahami.

"Apa yang saya belajar daripada tujuh tahun perkahwinan ini, kalau kami bergaduh sampai meninggi suara, sebelum tidur salah seorang pasti akan ketepikan ego, minta maaf dan teruskan hidup," kongsinya.

Ilya menegaskan, perkahwinan sihat bukan tentang mencari siapa betul atau salah, tetapi tentang dua insan yang sanggup berusaha untuk memahami perbezaan antara satu sama lain.

Katanya, lelaki dan wanita berbeza dari segi cara berfikir, menzahirkan kasih sayang dan menunjukkan keletihan.

Justeru, salah faham dan rasa tidak dihargai adalah perkara normal dalam hubungan.

Ilya turut mengingatkan, kebahagiaan rumah tangga bukan datang daripada kesempurnaan, tetapi kejujuran, usaha serta berpaksikan nilai keluarga dan Tuhan selain elak meletakkan harapan tinggi kepada pasangan kerana itulah punca kekecewaan.

"Tiada siapa yang sempurna. Tetapi kalau terasnya ikhlas, kasih dan kebaikan, kita akan sentiasa jumpa jalan penyelesaiannya," katanya mengakhiri perkongsian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram