BERBUSANA sedondon dalam pakaian tradisional perkahwinan Melayu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz tampil anggun dan menawan pada majlis persandingan berlangsung Rabu.
Pasangan pengantin diraja itu berkenan berangkat masuk ke Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang, Selangor dengan penuh adat bagi majlis bersanding dan merenjis.
Dalam upacara merenjis itu, pasangan pengantin diraja diberkati dengan taburan bunga rampai dan percikan air mawar sebagai simbol restu dan doa kebahagiaan.
BACA LAGI: Mekap mudah 'patchy'? MUA Fazs Faozi kongsi 'hack' jurusolek profesional
Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan memulakan upacara merenjis sebagai tanda restu kepada pasangan mempelai.
Turut menyempurnakan adat itu ialah bonda Raja Muda Selangor, Che Puan Nur Lisa Abdullah, diikuti oleh kerabat diraja lain termasuk adinda-adinda Sultan Sharafuddin serta dua orang kakanda Raja Muda Selangor bersama pasangan masing-masing.
Selepas selesai adat merenjis oleh kerabat diraja, kedua ibu bapa pengantin perempuan, Datuk Abdul Aziz Mat dan Datin Rosmawati Ismail turut menyampaikan restu mereka kepada pasangan tersebut.
Pasangan pengantin diraja tersebut selamat diijabkabul di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada 2 Oktober 2025.
Tengku Amir Shah merupakan anak bongsu dan satu-satunya putera kepada Sultan Sharafuddin, manakala Afzaa Fadini juga anak bongsu dan anak perempuan tunggal daripada tiga beradik. — The Star/WANI MUTHIAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
