PEREKA fesyen terkenal, Adila Long diberi penghormatan menghasilkan persalinan nikah untuk Yang Mulia Datin Paduka Afzaa Fadini Abdul Aziz sempena majlis akad nikah bersama Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berlangsung pada Khamis pagi.
Busana serba putih itu bukan sekadar simbolik sebuah ikatan suci, malah memaparkan kehalusan seni rekaan Adila Long yang terkenal dengan sentuhan subtle maximalism.
Menurut Pengasas Adila Long berusia 40 tahun itu inspirasi utama untuk persalinan tersebut hadir daripada konsep rekaan minimal yang diperhalusi dengan lapisan tekstur halus.
BACA LAGI: 'Senang cari bahan kalau nak masak', unik susun atur dapur usahawan kosmetik ala kedai runcit

Adila Long. — Instagram/@adilalong
"Sejak awal kami tahu asasnya perlu rona putih untuk nikah, tetapi saya mahu ia menonjolkan identiti kami melalui perincian terutamanya dari segi lapisan dan kemasan," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Tambah beliau, antara elemen paling signifikan ialah lace (renda) pilihan khas dibawa sendiri oleh Afzaa Fadini.
"Renda tersebut diserahkan sendiri Afzaa Fadini dengan permintaan agar ia dimasukkan ke dalam rekaan mengikut kreativiti kami," kongsi Adila.
Hasilnya, renda berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai perincian utama pada busana.
Selain itu, taburan mutiara pada baju dan selendang turut menambah nilai klasik.
"Mutiara yang ditabur secara rawak pada selendang dan baju memberi sentuhan romantis dan tak lapuk dek zaman," ujar Adila lanjut.
Identiti rekaan Adila Long turut terserlah menerusi penggunaan selendang klasik yang disifatkan sebagai old-school.
"Saya kongsi idea selendang klasik ini kepadanya dan beliau terus bersetuju. Ia memberi dimensi tambahan yang mengekalkan elegan tradisional, tetapi tetap segar,” jelasnya.
Mengulas mengenai tempoh persiapan pula, Adila berkata, proses menghasilkan persalinan berkenaan bermula sejak Mac lalu dengan sesi perbincangan yang disifatkan berjalan lancar.
Adila juga mengakui kerjasama dengan Afzaa Fadini sangat menyenangkan kerana sikap tenang dan penuh kepercayaan yang ditunjukkan sepanjang tempoh tersebut.
"Proses berjalan lancar, Alhamdulillah. Beliau cukup teliti, tetapi dalam masa sama memberi ruang penuh kepada kami untuk berkarya menghasilkan persalinan yang sangat penting baginya," katanya.
Bagi Adila, projek berkenaan bukan sekadar tugasan, malah menjadi pencapaian penting dalam perjalanan kerjayanya.
"Ia satu detik besar buat kami. Saya dan pasukan amat bangga kerana diberi peluang menggalas amanah untuk menghasilkan persalinan paling bermakna dalam hidup beliau," katanya mengakui teruja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
