Jangan anggap migrain biasa, ‘thunderclap headache’ sakitnya seperti dipanah petir, risiko jangkitan otak


  • Sihat
  • Selasa, 21 Okt 2025

Kajian menunjukkan wanita lebih berisiko mengalami migrain berbanding lelaki akibat perubahan hormon dan tekanan kerja. 

SAKIT kepala mendadak yang muncul secara tiba-tiba dan sangat kuat bukanlah perkara biasa, sebaliknya boleh menjadi tanda kepada masalah serius pada otak.

Keadaan ini dikenali sebagai thunderclap headache atau sakit kepala seperti dipanah petir.

Dokter Spesialis Saraf (neurologi) Universiti Indonesia, Dr. Zicky Yombana berkata, sakit kepala jenis itu perlu diberi perhatian segera kerana ia berisiko tinggi dan boleh menandakan berlakunya pendarahan atau jangkitan otak.

"Migrain atau sakit kepala yang patut diberi perhatian ialah apabila sakitnya datang secara tiba-tiba dan amat kuat. 

"Keadaan ini kita panggil thunderclap headache atau sakit kepala seperti dipanah petir dan perlu segera diperiksa,” katanya.

BACA LAGI: 'Effort' luar biasa, lelaki guna AI hasil 'trailer' ala animasi Disney lamar kekasih hati

BACA LAGI: Cinta berputik sejak remaja, suami isteri pencipta Barbie dan Hot Wheels ubah dunia permainan kanak-kanak

Menurut Dr. Zicky, thunderclap headache termasuk dalam kategori sakit kepala sekunder, iaitu sakit kepala berpunca daripada gangguan atau penyakit lain di dalam badan. Ia bukan disebabkan tekanan, stres atau keletihan.

Katanya, antara punca utama keadaan itu ialah pendarahan otak, jangkitan pada selaput otak (meningitis) dan ketumbuhan otak. 

Beliau menegaskan bahawa pesakit yang mengalami sakit kepala mendadak dengan tahap kesakitan melampau perlu segera mendapatkan rawatan di hospital bagi mengelakkan risiko kematian.

Individu yang mengalami thunderclap headache atau sakit kepala seperti dipanah petir perlu segera rujuk doktor. — Gambar hiasan/Canva

Bila perlu rujuk doktor?

Dr. Zicky menjelaskan, sakit kepala ringan yang berlaku sekali-sekala dan hilang sendiri tidak berbahaya. 

Namun, jika sakit kepala berlaku berulang, semakin kuat atau tidak pulih selepas mengambil ubat, individu terbabit perlu segera mendapatkan pemeriksaan lanjut.

“Kalau sakit kepala berlaku satu dua kali dan hilang itu tidak mengapa, tetapi jika ia berulang dan semakin kuat, itu mungkin tanda penyakit serius yang perlu diberi perhatian,” jelasnya lanjut.

Beliau turut menasihatkan supaya orang ramai peka terhadap simptom berbahaya seperti terjaga pada waktu malam akibat sakit kepala, penglihatan kabur, kejang, demam tinggi, serta kelemahan pada satu bahagian tubuh. 

Jika gejala ini berlaku serentak, pesakit perlu segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Bagi sakit kepala ringan atau migrain, Dr. Zicky berkata, penggunaan ubat pereda nyeri (painkiller) boleh membantu mengurangkan kesakitan sementara. 

Namun, beliau menasihatkan agar ubat tidak dijadikan penyelesaian jangka panjang.

“Kita bukan hanya perlukan ubat pereda sakit, tetapi juga rawatan pencegahan agar serangan tidak berulang,” ujarnya.

Selain penggunaan ubat, pesakit boleh menggunakan kaedah semula jadi seperti meletakkan kompres sejuk pada dahi atau leher di tempat yang tenang dan kurang cahaya bagi membantu mengurangkan rasa sakit.

Wanita lebih cenderung alami migrain

Kajian menunjukkan wanita lebih berisiko mengalami migrain berbanding lelaki akibat perubahan hormon dan tekanan kerja. 

Namun, Dr. Zicky menasihatkan agar kaum wanita tidak menganggap semua sakit kepala kuat sebagai migrain semata-mata.

“Ramai wanita beranggapan ia hanya migrain biasa, tetapi jika sakit kepala itu muncul tiba-tiba dan luar biasa kuat, ia mungkin tanda awal masalah di otak,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram