SEORANG wanita meluahkan rasa kesal apabila ibunya yang berusia 64 tahun membawa masuk seorang lelaki dikenali menerusi aplikasi janji temu ke dalam rumah pada awal pagi.
Luahan itu dikongsikan menerusi hantaran dalam sebuah kumpulan komuniti di Facebook yang aktif membincangkan mengenai isu rumah tangga pada Isnin.
Dalam hantaran itu, wanita berstatus ibu tunggal itu berkata, ibunya turut hidup bersendirian sejak kematian suami beberapa tahun lalu dan kini aktif menggunakan media sosial termasuk Facebook, Instagram dan WhatsApp.
BACA LAGI: Sia-sia ubah suai jadi rumah mewah, mentua datang mengejut, 'claim' tanah, halau menantu
"Saya tidak pernah menghalang ibu untuk aktif di media sosial kerana saya tahu dia sunyi. Saya bekerja dan adik-beradik lain pula sudah berkeluarga, jadi dia banyak menghabiskan masa seorang diri di rumah," katanya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila ibunya memaklumkan akan berjumpa seorang lelaki dikenalinya menerusi aplikasi berkenaan.
"Ibu kata mereka hanya akan berjumpa di depan rumah. Saya tidak halang kerana fikir tiada salahnya berkawan.
"Tetapi sekitar jam 5 pagi, saya terdengar bunyi pintu dan pagar dibuka," katanya yang ternampak kelibat seorang lelaki melangkah masuk ke dalam rumah sebelum menghala ke arah dapur.
Menurutnya lagi, ibunya memberi alasan bahawa lelaki itu hanya datang untuk minum air, namun tindakan tersebut tetap dianggap tidak wajar kerana lelaki berkenaan bukan mahram.
"Saya nasihatkan ibu supaya lebih berhati-hati kerana saya bimbang jika lelaki itu berniat tidak baik atau mungkin cuba mengambil kesempatan," ujarnya.
Kongsinya lagi, lelaki berkenaan pada awalnya enggan keluar sebelum beliau mengugut untuk membuat laporan polis.
Situasi itu menyebabkan ibunya memarahinya dan mempertahankan lelaki berkenaan.
"Selepas kejadian, ibu berkurung di dalam bilik hampir tiga hari dan enggan bercakap dengan saya. Saya hanya mahu melindungi dia daripada perkara yang tidak baik," ceritanya.
Enggan perkara sama menimpa orang lain, beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya warga emas yang menggunakan aplikasi janji temu agar lebih berhati-hati.
Jangan mudah mempercayai individu yang baru dikenal secara dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
