MEDIA sosial sering mengaitkan sikap ‘baran’ dengan lelaki.
Namun, hakikatnya sifat itu juga boleh wujud dalam kalangan wanita, terutama apabila tekanan emosi dan komunikasi tidak seimbang dalam rumah tangga.
Pada Ahad, tular di laman Facebook apabila seorang suami meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap layanan isterinya yang sering marah apabila diminta memasak dua jenis lauk.
Baginya, permintaan itu bukan sesuatu yang berlebihan, malah hanya melibatkan hidangan ringkas seperti ayam kicap dan ikan goreng.
"Dari awal kahwin sampai sekarang, setiap kali saya minta buatkan dua menu lauk saja, dia marah dan kata tak boleh ke makan satu lauk?
"Saya tahu mungkin dia penat, tapi dia suri rumah. Saya pun suka sangat masakannya," tulisnya dalam hantaran itu.
Tambah beliau, gara-gara sering dimarahi, beliau kini memilih untuk berdiam diri dan kadangkala berpura-pura makan di luar walaupun sebenarnya menahan lapar kerana terasa hati.
"Saya jadi takut nak minta beliau masakkan. Bila balik rumah keluarga boleh pula masak pelbagai jenis lauk.
"Tapi bila di rumah sendiri, minta dua lauk pun saya dipersalahkan," luahnya lagi.
Menurut beliau, walaupun sering memuji masakan isterinya, tindakan itu tidak mengubah keadaan.
Malah, beliau pernah membeli ikan kegemarannya sendiri, namun isteri memberikan hidangan tersebut kepada abangnya.
Luahan berkenaan mengundang pelbagai reaksi warga maya, khususnya daripada golongan wanita yang turut berkongsi pandangan mengenai peranan dan tanggungjawab dalam perkahwinan.
"Pelik kadang-kadang isteri, bukan ke seronok tengok suami dan anak-anak makan berselera dengan masakan sendiri?
"Kalau saya, walaupun penat, tetap masak sebab rasa puas hati tengok mereka kenyang," komen Marizah Miza.
Seorang lagi pengguna, menasihatkan agar pasangan berkomunikasi dengan lebih baik untuk mengelak rasa tidak puas hati berpanjangan.
“Selepas kahwin, tanggungjawab isteri adalah kepada suami dan anak-anak, bukan keluarga sendiri. Tapi suami pun kena nasihat dengan cara baik. Komunikasi itu penting dalam rumah tangga," ujar Nirwana Binti Bedu Ana.
Sementara itu, seorang pengguna lain berpandangan, suami juga boleh berusaha mencari jalan tengah agar isteri sedar dan belajar menghargai.
"Apa susah bang, dalam seminggu sekali abang tapau lauk kegemaran, bawa balik rumah. Apa isteri masak, makan sikit-sikit saja.
"Lama-lama isteri terasa la tu. Cuba dulu sebab saya dah buat, tak bergantung pada isteri," kongsi Fuad Sue bersahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
